Pergi ke kandungan

Pulau Layang-Layang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pulau Layang-Layang
ڤولاو لايڠ٢
Map
Geography
Coordinates7°22′20.00″N 113°50′30.00″E / 7.3722222°N 113.8416667°E / 7.3722222; 113.8416667Koordinat: 7°22′20.00″N 113°50′30.00″E / 7.3722222°N 113.8416667°E / 7.3722222; 113.8416667
ArchipelagoKepulauan Spratly
Area0.1 km2 (0.039 bt2)
Length1.2 km (0.75 mi)
Width0.02 km (0.012 mi)
Administration

Pulau Layang-Layang atau Terumbu Layang-Layang (Jawi):ڤولاو لايڠ٢ , (Inggeris: Swallow Reef, Cina: 弹丸礁, Danwan Jiao, Filipino: Celerio, Vietnam: Đá Hoa Lau) adalah sebuah pulau yang merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Kerajaan Malaysia telah memantau pulau ini dan menegaskan bahawa pulau ini adalah kepunyaan Malaysia kerana kedudukannya yang berada berhampiran dengan Sabah. Pulau ini juga dituntut oleh negara Republik Rakyat China, Republik China (Taiwan), Filipina dan Vietnam.

Kedudukan

[sunting | sunting sumber]

Pulau ini merupakan tuntutan negara Malaysia terhadap sebahagian daripada pemilikan di Kepulauan Spratly kerana ia berdekatan dengan kawasan tanah. Setelah Kerajaan Malaysia mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau Layang-Layang itu terletak dalam perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia pada 20 September 1979, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara. Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama Terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980 dan pada Mei 1983, 18 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Terumbu Layang-Layang.[1] Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika atau sejam penerbangan dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, dengan empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

Kepulauan Spratly menjadi rebutan beberapa negara seperti China, Vietnam, Filipina dan Brunei kerana dipercayai kaya dengan hasil semula jadi seperti fosforus, gas asli, petroleum dan pelbagai hasil marin yang memukau.

Pelancongan

[sunting | sunting sumber]

Pada awal penubuhan penempatan TLDM di Terumbu Layang-Layang pada tahun 1989, kerajaan telah memutuskan supaya kawasan terumbu ini perlu dimajukan sebagai pusat pelancongan seiring dengan kerja-kerja pembangunan ke atas penempatan TLDM.[2]

Hasilnya, sebuah resort milik rakyat Malaysia iaitu Avillion Layang-Layang (Resort selam) telah beroperasi di situ selama beberapa tahun.[3] Menurut Pegawai Pemerintah Terumbu Layang-Layang Leftenan Mohd Khairulislah Ahmad (TLDM), sejak Avillion Layang-Layang Resort dibuka sehinggalah tahun 2006, statistik kehadiran pelancong yang datang melawat pulau tersebut seramai 1,457 orang, kebanyakannya dari Jepun, Perancis, Korea Selatan dan China. Cara untuk sampai di Pulau Layang-Layang ialah melalui kapal terbang foker. Penerbangan dari Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira satu jam.

Pulau Layang-Layang terletak 162 batu nautika bersamaan 300 km dari barat laut Kota Kinabalu, yakni dalam lingkungan 200 batu nautika zon eksklusif seperti yang dibenarkan menurut Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Terumbu atau Pulau Layang-Layang terletak di Laut China Selatan. Pulau ini timbul hampir 2000 meter dari dasar laut. Berukuran sepanjang 1.2 km dan selebar 200 meter, pulau berbentuk bujur ini amat menarik dengan pelbagai pemandangan dasar laut yang mengagumkan, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, termasuk haiwan laut dalam (pelagik) yang menjadi daya tarikan kepada para penyelam. Pulau Layang-Layang juga menjadi tempat perlindungan kepada beribu-ribu ekor burung berpindah.[4]

Terletak berdekatan dengan jalur khatulistiwa, Pulau Layang-Layang mengalami iklim khatulistiwa (iklim hutan hujan tropika). Pada bulan November hingga Januari, kawasan pulau ditutup kepada pelancong kerana ketika itu musim hujan lebat atau musim tengkujuh berlaku. Julat suhunya ialah 24 hingga 32°C. Walaupun mengalami cuaca panas dan hujan setiap tahun, bayu laut sering mendinginkan kawasan pulau.

  1. ^ Bernama.com - Pangkalan TLDM Pulau Layang-Layang Kurangkan Pencerobohan
  2. ^ STESEN LIMA TLDM. [online] Retrieved from: https://www.navy.mil.my/pusmastldm/index.php/penubuhan-unit/markas-wilayah-laut-2/stesen-lima-tldm [Accessed: 4 Jun 2013].
  3. ^ Laman sesawang rasmi Avillion Layang-Layang, (Operator resort tunggal di Pulau Layang-Layang Sabah, Malaysia). Pautan: https://www.avillionlayanglayang.com/
  4. ^ Laman sesawang rasmi Avillion Layang-Layang, (Operator resort tunggal di Pulau Layang-Layang Sabah, Malaysia). Pautan: https://www.avillionlayanglayang.com/

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]