Husky Siberia
Nama lain | Chukcha[1] | ||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Husky Sibe | ||||||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Rusia[2] | ||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Husky Siberia[a] ialah satu baka anjing pekerja tarikan bersaiz sederhana. Baka ini tergolong dalam keluarga genetik spits. Ia dapat dikecam mengikut lapis bulu ganda tebal, telinga segi tiga tegak, dan tanda-tanda distingtif, dan lebih kecil daripada malamut Alaska yang berpenampilan serupa.
Husky Siberia berasal dari Asia Timur Laut. Di sana, ia dibiakbakakan oleh orang Chukchi serta orang Koryak, orang Yukaghir, dan orang Kamchadal dari Siberia untuk penarikan kereta luncur salji dan sebagai pendamping.[2][5] Ia merupakan baka giat, bertenaga, dan bingkas, yang leluhurnya datang dari persekitaran sangat sejuk dan mencabar di Artik Siberia. William Goosak, seorang pedagang bulu, memperkenalkannya ke Nome, Alaska semasa Kerubut Emas Nome, pada mulanya sebagai anjing tarikan untuk mengerjakan lapangan perlombongan dan untuk ekspedisi melalui rupa bumi yang sukar dilalui.[2] Kini, husky Siberia biasanya dibela sebagai anjing peliharaan rumah, namun ia masih kerap digunakan sebagai anjing tarikan oleh para musher pertandingan dan rekreasi.[6]
Zuriat
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2015, sebuah kajian DNA menunjukkan bahawa husky Siberia, malamut Alaska, dan husky Alaska mengongsi hubungan genetik rapat antara satu sama lain dan berkaitan dengan anjing tarikan Chukotka dari Siberia. Anjing-anjing ini terpisah daripada dua baka anjing Inuit, iaitu anjing Eskimo Kanada dan anjing Greenland. Di Amerika Utara, husky Siberia dan malamut kedua-duanya telah mengekalkan zuriat Siberianya dan telah menyumbang dengan ketara kepada husky Alaska, yang dikembangkan melalui persilangan dengan baka-baka Eropah.[7] Husky Siberia menunjukkan kesemendaan genetik dengan anjing-anjing Siberia Timur terdahulu dan anjing Tasik Baikal purba, dan dapat dijejak kepada zuriat yang berusia lebih daripada 9,500 tahun.[8] Sampel genomik bagi husky Siberia kini telah muncul sebagai empat populasi terpisah secara genetik: anjing pertunjukan, anjing peliharaan, anjing lumba kereta luncur salji, dan husky Siberia Seppala.[5]
Beberapa baka anjing Artik, termasuk anjing Siberia, menunjukkan kerapatan genetik ketara dengan serigala Taymyr dari Asia Utara yang kini pupus oleh sebab percampuran. Baka-baka ini dikaitkan dengan latitud tinggi – husky Siberia dan anjing Greenland yang juga berkaitan dengan populasi manusia Artik, dan secara kurang ketara, dengan shar pei dan spits Finland. Terdapat data yang menunjukkan percampuran antara 1% dengan 3% antara populasi serigala Taymyr dengan populasi leluhur anjing bagi keempat-empat baka latitud tinggi ini. Introgresi ini dapat memberi anjing awal yang tinggal di latitud tinggi variasi fenotip yang bermanfaat untuk adaptasi terhadap persekitaran baharu dan mencabar. Ini juga menunjukkan bahawa keleluhuran bagi baka anjing zaman kini diturunkan dari lebih daripada satu kawasan.[9]
Husky Siberia pada asalnya dikembangkan oleh orang Chukchi dari Semenanjung Chukci di Siberia timur.[10] Ia dibawa ke Nome, Alaska pada tahun 1908 untuk berkhidmat sebagai anjing pekerja tarikan dan kemudiannya dikembangkan dan digunakan untuk perlumbaan anjing tarikan.[11][7]
Perihal
[sunting | sunting sumber]Bulu
[sunting | sunting sumber]Husky Siberia memiliki lapis bulu ganda yang lebih tebal daripada yang pada kebanyakan baka anjing.[12] Terdapat dua lapis: lapis bulu bawah padat dan beralun halus dan lapis bulu atas lebih panjang dengan rerambut pengawal lebih tebal dan lurus.[13] Lapis bulu ini melindungi anjing dengan berkesan daripada cuaca musim sejuk Artik yang mencabar dan juga memantulkan haba pada musim panas. Ia mampu mengharungi suhu serendah −50 – −60 °C (−58 – −76 °F). Lapis bulu bawahnya kerap tiada semasa ganti bulu. Lapis bulu tebalnya memerlukan perawatan bulu mingguan.[12] Lapis bulu terlebih panjang, kadang-kadang dirujuk sebagai lapis bulu "wul", dianggap sebagai kecacatan menurut piawaian baka kerana kekurangan perlindungan lebih tebal seperti yang pada rerambut pengawal lapis bulu piawai, mengaburkan garis rangka jelas anjing berkenaan, menyebabkan kenaikan haba berlebihan dengan lebih cepat semasa kerja berat dengan abah-abah, dan semudahnya menjadi kusut dan berkerak dengan salji dan air batu.[14]
Husky Siberia terdapat dengan pelbagai warna dan corak, kerap dengan kaki dan tungkai putih, tanda muka putih, dan hujung ekor putih. Contoh warna lapis bulu merupakan hitam dan putih, merah tembaga dan putih, kelabu dan putih, putih metah, dan lapis bulu "agouti" jarang, namun banyak individu mempunyai tompok perang muda atau piebald. Sesetengah individu lain juga mempunyai corak "belakang pelana", yang melibatkan keterbatasan rerambut pengawal berhujung hitam hanya di kawasan pelana sementara kepala, pinggul, dan bahu sama ada berwarna merah muda atau putih. Topeng menonjol, gelang mata, dan tanda muka lain hadir dalam kepelbagaian meluas. Semua warna bulu daripada hitam hingga putih metah diizinkan.[13][15][16][17] Corak lapis bulu merle tidak diizinkan oleh American Kennel Club (AKC) dan The Kennel Club (KC).[13][18] Corak ini kerap dikaitkan dengan isu kesihatan dan pembiakbakaan tidak tulen.[19]
Mata
[sunting | sunting sumber]American Kennel Club memerihalkan mata husky Siberia sebagai mata yang "berbentuk badam, sederhana terjarak, dan terletak agak condong". Piawaian baka AKC menetapkan mata yang perang, biru, atau hitam; salah satu warna atau berwarna-warni diterima (yang lengkap ialah heterokromia). Gabungan warna mata ini dianggap dapat dierima oleh American Kennel Club. Yang berwarna-warni tidak menjejaskan penglihatan anjing.[20]
Hidung
[sunting | sunting sumber]Anjing layak pertunjukan lebih diterima jika tidak mempunyai hidung menajam mahupun hidung sudut tegak. Hidungnya hitam pada anjing kelabu, sawo matang pada anjing hitam, berwarna hati pada anjing berwarna tembaga, dan mungkin sawo matang cerah pada anjing putih. Dalam sesetengah keadaan, husky Siberia dapat mempamerkan hidung yang dipanggil "hidung salji" atau "hidung musim sejuk". Keadaan ini dipanggil hipopigmentasi pada haiwan. "Hidung salji" diterima dalam gelanggang pertunjukan.[12][21]
Ekor
[sunting | sunting sumber]Ekor husky Siberia berbulu lebat; anjing ini kerap melingkarkan dengan ekornya ke atas mukanya dan hidungnya untuk menambahkan kehangatan. Apabila melingkar untuk tidur, husky Siberia menutup hidungnya untuk kehangatan, kerap dirujuk sebagai "pusaran Siberia". AKC mengesyorkan ekor yang ekspresif, terangkat rendah-rendah apabila anjing bertenang, dan melingkar ke atas dalam rupa bentuk "sabit" apabila teruja atau minat pada sesuatu.[12]
Saiz
[sunting | sunting sumber]Piawaian baka menunjukkan bahawa jantan baka ini berdiri dengan unggul setinggi 20–24 inci (51–61 cm) pada paras kelasa dan berukuran seberat 45–60 paun (20–27 kg).[22] Betinanya pula lebih kecil dan membesar sehingga setinggi 19–23 inci (48–58 cm) pada paras kelasa dan berukuran seberat.35–50 paun (16–23 kg).[12] Warga Nome merujuk husky Siberia sebagai "tikus Siberia" oleh sebab saiznya yang seberat 40–50 paun (18–23 kg) berbanding dengan saiz malamut Alaska yang seberat 75–85 paun (34–39 kg).[23]
Tingkah laku
[sunting | sunting sumber]Husky biasanya lebih kerap melolong berbanding menyalak.[24] Ia telah diperihalkan sebagai ahli lepas diri, yang dapat termasuk menggali ke bawah, mengunyah, malah melompati pagar.[4][25][26]
ASPCA mengelaskan baka ini sebagai baka yang baik dengan kanak-kanak. Persatuan itu juga menyatakan bahawa ia memaparkan paras tenaga tinggi di ruangan dalaman, mempunyai keperluan senaman khusus, dan mungkin bersikap pemusnah "tanpa penjagaan betul".[4]
Pagar 6 ka (1.83 m) disyorkan untuk baka ini sebagai anjing peliharaan, namun sesetengah anjing telah diketahui mengatasi pagar setinggi 8 ka (2.44 m).[26] Pagar haiwan peliharaan elektrik mungkin tidak berkesan.[26] Ia memerlukan pendampingan kerap daripada orang dan anjing lain dan keperluan untuk berasa seperti sebahagian daripada kawanan adalah kuat.[27]
Perwatakan husky Siberia adalah ramah dan lemah lembut.[15] Sebuah kajian mendapati perkaitan antara satu gen pada baka ini dengan keimpulsifan, kekurangan perhatian, dan paras kegiatan tinggi.[28]
Husky Siberia diletakkan di tangga ke-77 daripada 138 baka yang dibandingkan untuk kecerdasan oleh ahli psikologi anjing Stanley Coren.[29] Walau bagaimanapun, ranking dalam karya terbitan Coren menggunakan hanya salah satu daripada tiga bentuk tertakrif bagi kecerdasan anjing, iaitu "kecerdasan kerja dan kepatuhan", yang tertumpu pada kebolehlatihan—kebolehan anjing untuk mengikuti arahan dan perintah dalam konteks langsung, khususnya oleh hakim ujian dalam persekitaran litar terkawal.[30]
Kesihatan
[sunting | sunting sumber]Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.9 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[31] Isu-isu kesihatan pada baka ini terutamanya merupakan isu keturunan, seperti sawan dan kecacatan mata (katarak juvenil, distrofi kornea, glaukoma anjing, dan atrofi retina progresif) dan kelumpuhan larinks kongenital.[32] Displasia pinggul tidak kerap didapati pada baka ini; walau bagaimanapun, sebagaimana dengan banyak kanin bersaiz sederhana atau besar, ini dapat berlaku.[33] Orthopedic Foundation for Animals pada masa ini telah menempatkan husky Siberia di tangga ke-155 daripada 160 baka yang berisiko untuk displasia pinggul, dengan hanya dua peratus daripada husky Siberia teruji yang menunjukkan displasia.[34]
Husky Siberia yang digunakan untuk perlumbaan kereta luncur salji mungkin juga terdedah kepada penyakit lain, seperti penyakit gastrik,[35] bronkitis, atau penyakit bronkopulmonari ("asma ski"),[36] dan hakisan gastrik atau pengulseran.[37]
Husky Siberia ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat atrofi retina progresif terangkai X. Keadaan ini disebabkan oleh mutasi pada gen RPGR pada baka ini.[38]
Husky Siberia moden yang berdaftar di Amerika Syarikat hampir keseluruhannya merupakan keturunan daripada import Siberia tahun 1930 dan daripada anjing-anjing Leonhard Seppala, khususnya Togo.[39] Bilangan terhad bagi anjing asasi berdaftar telah membawa kepada sesetengah perbincangan tentang kerentanannya terhadap pengaruh pengasas.[40]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Prasejarah (sebelum tahun 1890-an)
[sunting | sunting sumber]Anjing tarikan Chukotka dianggap sebagai leluhur kepada husky Siberia. Anjing tarikan Chukotka yang dikembangkan oleh orang Chukchi dari Rusia telah digunakan sejak zaman prasejarah untuk menarik kereta luncur salji dalam keadaan mencabar, seperti pemburuan mamalia laut di atas air batu sarah lautan.[41][42]
Asal usul nama dan perpisahan daripada anjing tarikan Chukotka (1890-an–1930-an)
[sunting | sunting sumber]Dari tahun 1890-an hingga tahun 1930-an, anjing kereta luncur salji dari Siberia timur laut dan terutamanya anjing tarikan Chukotka diimport secara aktif dalam bilangan besar ke Alaska, untuk mengangkut pelombong emas ke Yukon, mula-mula sebagai sebahagian daripada Kerubut Emas Klondike,[41][5] kemudian dalam "All-Alaska Sweepstakes",[13] iaitu perlumbaan kereta luncur salji anjing sejauh 408 bt (657 km) dari Nome, ke Candle, ulang-alik. Pada masa ini, "Esquimaux" atau "Eskimo" merupakan istilah pejoratif umum untuk penghuni asli Artik dengan banyak pilih atur dialek termasuk Uskee, Uskimay, dan Huskemaw. Maka, anjing yang digunakan oleh orang Artik merupakan anjing orang Huskie, dan akhirnya hanya anjing husky.[43][44] Para penetap Kanada dan Amerika, yang tidak cukup mengarifi geografi Rusia, membezakan import Chukotka dengan merujuknya sebagai husky Siberia kerana Chukotka merupakan sebahagian Siberia.[41]
Sebagai anjing pengangkut muatan yang lebih kecil, lebih pantas, dan lebih berdaya tahan daripada anjing pengangkut muatan 100–120 paun (45–54 kg) yang digunakan secara umum pada masa itu, anjing ini segera mendomnasi perlumbaan Sweepstakes. Leonhard Seppala, pembiak baka terpenting bagi anjing tarikan Siberia pada masa itu, menyertai pertandingan dari tahun 1909 hingga pertengahan tahun 1920-an dengan sebilangan kejuaraan dengan nama beliau.[45]
Pada 3 Februari 1925, Gunnar Kaasen merupakan musher terakhir dalam pengangkutan serum ke Nome 1925 untuk mengirimkan serum difteria dari Nenana sejauh 600 batu (970 km) ke Nome. Ini merupakan usaha berkumpulan oleh beberapa pasukan anjing tarikan dan musher, dengan segmen terpanjang (264 batu (425 km)) dan paling berbahaya bagi pengangkutan itu yang dilalui oleh Leonhard Seppala dan anjing pemimpin pasukan kereta luncur salji beliau, Togo. Peristiwa ini digambarkan dalam filem tahun 2019 Togo. Sebahagian daripada ini juga digambarkan dalam filem animasi tahun 1995 Balto; nama anjing pemimpin Gunnar Kaasen dalam pasukan kereta luncur salji beliau ialah Balto, namun tidak seperti anjing sebenar, watak Balto digambarkan sebagai seekor anjing serigala dalam filem itu. Sempena memperingati anjing pemimpin ini, sebuah patung gangsa didirikan di Central Park di New York City]]. Pada plak terdapat inskripsi,
Terjemahan: Didedikasikan untuk semangat tidak terkalahkan anjing tarikan yang menyampaikan antitoksin sejauh enam ratus batu merentasi ais kasar, menyeberangi perairan berbahaya, melalui ribut salji Artik dari Nenana hingga kelegaan Nome yang terlanda pada musim sejuk tahun 1925. Ketahanan · Kesetiaan · Kecerdikan[45]
Husky Siberia memperoleh kepopularan besar dengan kisah "Perlumbaan Besar Rahmat", iaitu pengangkutan serum ke Nome tahun 1925, yang menonjolkan Balto dan Togo. Walaupun Balto dianggap lebih masyhur, sebagai anjing yang mengirimkan serum itu ke Nome selepas menjalani peringkat 53 batu (85 km) terakhir, Togo merupakan anjing yang menjalani peringkat terpanjang bagi larian berganti-ganti itu, dengan memandu musher-nya Leonhard Seppala dalam perjalanan sejauh 261 batu (420 km) yang termasuk penyeberangan Norton Sound yang membawa maut ke Golovin,[46] dan yang akhirnya menjadi anjing pengasas untuk baka husky Siberia, melalui keturunannya Toto, Molinka, Kingeak, Ammoro, Sepp III, dan Togo II.[11]
Pada tahun 1930, pengeksportan anjing dari Siberia dihentikan.[27] Tahun sama juga menyaksikan pengiktirafan husky Siberia oleh American Kennel Club.[13] Pada sembilan tahun kemudian, baka ini pertama kali didaftarkan di Kanada. United Kennel Club mengiktiraf baka ini pada tahun 1938 sebagai "husky Artik" atau "Arctic Husky", kemudian mengubah namanya kepada husky Siberia pada tahun 1991.[47] Seppala memiliki kenel di Alaska sebelum berpindah ke New England untuk menjadi pasangan Elizabeth Ricker. Mereka berdua bersama-sama memiliki kenel Poland Springs dan mula melumbakan dan mempamerkan anjing mereka di serata Kawasan Timur Laut. Kenel ini dijual kepada Harry Wheeler warga Kanada pada tahun 1931, ikutan kepulangan Seppala ke Alaska.[11]
Ternakan asasi baka ini menurut catatan dan buku pembaka terdiri daripada anjing-anjing berikut:
- Kree Vanka (Jantan, Import Siberia 1930)
- Tserko (Jantan, Import Siberia 1930)
- Tosca (Betina, Harry x Kolyma)
- Duke (Jantan, juga dikenali sebagai Chapman's Duke, menurut laporan Ici x Wanda)
- Tanta of Alyeska (Betina, Tuck x Toto)
- Sigrid III of Foxstand (Betina, Chenuk x Molinka)
- Smokey milik Seppala (Jantan, Kingeak x Pearl)
- Sepp III (Jantan, Togo x Dolly)
- Smoky (Jantan, induk tidak diketahui)
- Dushka (Betina, Bonzo x Nanuk)
- Kabloona (Betina, Ivan x Duchess)
- Rollinsford Nina milik Marilyn (Betina, Kotlik x Nera milik Marilyn)[48][11]
Sebaik baka ini mula menjadi terkenal, pada tahun 1933, Laksamana Muda Laut Richard E. Byrd membawa sekitar 50 ekor husky Siberia bersama dengan beliau dalam ekspedisi dengan harapan untuk mengelilingi pinggir laut Antartika sejauh 16,000 batu (26,000 km). Banyak anjing tersebut dibiakbakakan dan dilatih di Chinook Kennel di New Hampshire, yang dimiliki oleh Eva Seeley. Dengan nama Operation Highjump, perjalanan bersejarah itu membuktikan kelayakan husky Siberia oleh sebab saiz padatnya dan kelajuan tingginya.[45] Husky Siberia juga berkhidmat dalam Unit Pencarian dan Penyelamatan Artik Tentera Darat Amerika Syarikat bagi Air Transport Command semasa Perang Dunia Kedua.[49] Kepopularannya kekal sehingga abad ke-21. Ia ditempatkan di tangga ke-16 dalam kalangan pendaftar American Kennel Club pada tahun 2012,[50] lalu menaiki tangga ke-14 pada tahun 2013.[51]
1940-an–kini
[sunting | sunting sumber]Husky digunakan secara meluas sebagai anjing tarikan oleh British Antarctic Survey di Antartika pada antara tahun 1945 dengan tahun 1994.[52] Tugu untuk semua pasukan anjing BAS terletak di luar ibu pejabatnya di Cambridge dengan plak yang menyenaraikan nama semua anjing.[53]
Pada tahun 1960, Tentera Darat Amerika Syarikat menjalankan projek untuk membangunkan prasarana di bawah ais untuk pertahanan dan penyelidikan angkasa, Camp Centru, sebahagian daripada Project Iceworm yang melibatkan 150+ orang kakitangan yang juga membawa bersama mereka maskot tidak rasmi, seekor husky Siberia bernama Mukluk.[54]
Oleh sebab kepopularan tingginya sekali dengan keperluan fizikal dan mentalnya yang tinggi, anjing Siberia ditinggalkan atau diserahkan kepada tempat perlindungan haiwan pada kadar tinggi oleh para pemilik baharu yang tidak menyelidik sepenuhnya tentangnya dan mendapati bahawa mereka tidak mampu menjaganya. Ramai mengambil keputusan untuk membela anjing baka ini kerana rupanya dan mitosnya dalam kebudayaan popular, dan membeli anak anjing daripada para pembiak baka kecilan atau kilang anak anjing yang tidak mempunyai kontrak pemulangan kepada pembiak baka yang dipunyai oleh para pembiak baka bertanggungjawab, dengan niat untuk mengekalkan baka ini di luar tempat perlindungan.[55]
Anjing tarikan yang dibiakbakakan dan dibela oleh suku Chukchi dari Siberia disangkakan telah pupus, namun Benedict Allen, yang menulis untuk majalah Geographical pada tahun 2006 selepas melawati rantau itu, melaporkan kemandiriannya. Keterangan beliau bagi pembiakbakaan yang diamalkan oleh orang Chukchi menyebut pemilihan untuk kepatuhan, daya ketahanan, pembawaan ramah, dan saiz yang membolehkan keluarga menyara untuknya tanpa kesukaran yang tidak wajar.[42]
Kegunaan tradisional dan kegiatan lain
[sunting | sunting sumber]Pada asalnya, husky digunakan sebagai anjing tarikan di rantau kutub. Husky dapat dibezakan daripada jenis anjing lain melalui gaya tarik pantasnya. Husky lumba moden (juga dikenali sebagai husky Alaska) mewakili baka silang yang saling berubah bagi anjing-anjing terpantas. Manusia menggunakan hudky dalam perlumbaan anjing tarikan. Beberapa syarikat telah memasarkan denai pelancong dengan kereta luncur salji anjing untuk pelancong kembara di rantau salji.[56] Husky juga dibela sebagai anjing peliharaan dan banyak kumpulan sedang berusaha untuk mencari rumah untuk anjing perlumbaan dan anjing denai kembara yang telah bersara.[57]
Banyak husky, terutamanya husky Siberia, dianggap sebagai "anjing pekerja" dan kerap bertenaga tinggi. Senaman adalah amat penting untuk kesihatan fizikal dan mental bagi anjing jenis ini dan juga dapat menjalin ikatan kuat antara pemilik dengan anjing.[14] Oleh sebab ramai pemilik kini mempunyai husky sebagai anjing peliharaan di tempat yang tidak sesuai untuk penarikan kereta luncur salji, kegiatan lain yang baik untuk anjing dan menyeronokkan pemilik telah ditemukan.
- Rally obedience: Para pemilik membimbing anjing mereka melalui laluan senaman sukar di samping. Biasanya terdapat 10 hingga 20 isyarat untuk setiap laluan yang melibatkan perintah atau trik berlainan.[58]
- Pelatihan ketangkasan: Laluan berhalang rentak pantas yang membabitkan kelajuan dan tumpuan. Anjing berlumba melawan masa untuk menyelesaikan laluan dengan betul.[59]
- Skijoring ialah aktiviti alternatif bagi penarikan kereta luncur salji. Pemilik berada di atas ski sementara anjing menarik dengan menggunakan tali yang menghubungkan kedua-duanya.[60]
- Jalan kaki dengan anjing ialah alternatif untuk para pemilik yang tinggal dekat dengan denai atau mampu melawati denai.[61] Pemilik berjalan dengan anjing di sepanjang denai di hutan. Aktiviti ini membolehkan pemilik dan anjing mendapat senaman tanpa menggunakan deria kuat husky untuk menarik. Sesetengah syarikat membuat peralatan terutamanya untuk anjing yang mungkin membawa peralatan tersebut termasuk air, makanan, dan mangkuk untuk masing-masing.
- Carting, juga dikenali sebagai mushing tanah kering, ialah alternatif di bandar untuk penarikan kereta luncur salji. Anjing menarik "kereta" yang mengandungi bekalan atau individu. Ini juga merupakan cara munasabah untuk menggunakan kecederungan anjing ini untuk menarik dengan cara efektif.[62] "Kereta" ini dapat dibeli atau dibuat.
- Bikejoring ialah aktiviti yang melibatkan pemilik yang berbasikal bersama dengan anjing mereka sementara basikal tersebut terikat dengan abah-abah yang mengekalkan keselamatan kedua-dua pihak. Anjing atau sepasukan anjing dapat diikat dengan tali tunda juga untuk menarik basikal.[63]
Dalam kebudayaan
[sunting | sunting sumber]- Sebuah patung Balto gangsa yang telah dipaparkan di Central Park di New York City sejak tahun 1925 ialah salah satu tarikan popular taman itu.[64][65]
- The Twilight Saga, yang menonjolkan serigala jadian, dan siri televisyen Game of Thrones mencetuskan kenaikan besar dari segi permintaan husky Siberia sebagai anjing peliharaan, diikuti oleh kenaikan mendadak angkanya di tempat perlindungan haiwan awam. Walaupun haiwan berlakon itu bukan husky Siberia, orang ramai mendapatkan husky Siberia kerana penampilan serupa dengan serigala cereka yang digambarkan dalam rancangan itu.[66] Dua orang bintang daripada rancangan itu merayu kepada khalayak umum untuk berhenti mendapatkan anjing tanpa menyelidik bakanya terlebih dahulu.[67]
- Frasa three dog night ("malam tiga anjing"), yang bermaksud bahawa keadaan sungguh sejuk sehingga tiga ekor anjing diperlukan di katil untuk mengekalkan kehangatan, berasal daripada orang Chukchi dari Siberia, yang membela anjing baka tempatan husky Siberia yang menjadi baka tulen moden yang dipanggil husky Siberia.[68]
- Penyerbuan Pihak Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua di Sicilia pada tahun 1943 disebut "Operasi Husky".[69]
- Beberapa ekor husky Siberia baka tulen memainkan watak Diefenbaker, teman "separa serigala" kepada Konstabel RCMP Benton Fraser, dalam siri TV CBS/Alliance Atlantis Due South.[70]
- Husky Siberia merupakan maskot bagi pasukan atletik bagi beberapa buah sekolah dan kolej, termasuk St. Cloud State University (St. Cloud State Huskies, Blizzard), Northern Illinois University (Northern Illinois Huskies, Victor),[71] Universiti Connecticut (Connecticut Huskies, Jonathan), Northeastern University (Northeastern Huskies, Paws), Universiti Teknologi Michigan (Michigan Tech Huskies, Blizzard), Universiti Washington (Washington Huskies, Harry), Houston Baptist University (Houston Baptist Huskies, Kiza the Husky), dan Saint Mary's University (Saint Mary's Huskies) dan George Brown College (Toronto, Ontario).
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: هسکي سيبيريا ; Rusia: сиби́рский ха́ски, rumi: sibírskij xáski ; bahasa Inggeris: Siberian husky
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Husky Siberia |
- ^ "Siberian husky" [Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b c "Siberian husky | breed of dog" [Husky Siberia | baka anjing]. Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "American Kennel Club : Official Standard of the Siberian Husky" [American Kennel Club: Piawaian Rasmi Husky Siberia] (PDF). American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b c Gerstenfeld, Sheldon L.; Schultz, Jacque Lynn (September 1999). ASPCA Complete Guide to Dogs [Panduan Lengkap ASPCA untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). San Francisco, California, Amerika Syarikat: Chronicle Books. m/s. 190. ISBN 9780811819046. OCLC 40632797.
- ^ a b c Smith, Tracy A.; Srikanth, Krishnamoorthy; Huson, Heather Jay (28 Ogos 2024). Pisani, Davide (penyunting). "Comparative Population Genomics of Arctic Sled Dogs Reveals a Deep and Complex History" [Genomik Populasi Perbandingan bagi Anjing Kereta Luncur Salji Artik Mendedahkan Sejarah Dalam dan Kompleks]. Genome Biology and Evolution (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 16 (9): evae190. doi:10.1093/gbe/evae190. ISSN 1759-6653. PMC 11403282 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 39193769 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 271969306 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ "Do many Siberian Huskies run the Iditarod? If not, why? – Iditarod" [Adakah banyak husky Siberia berlari dalam Iditarod? Jika tidak, mengapa? – Iditarod]. iditarod.com (dalam bahasa Inggeris). 12 Oktober 2020. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b Brown, Sarah Krystyna; Darwent, Christyann M.; Wictum, E. J.; Sacks, Benjamin N. (24 Jun 2015). "Using multiple markers to elucidate the ancient, historical and modern relationships among North American Arctic dog breeds" [Menggunakan berbilang penanda untuk menerangkan hubungan purba, hubungan sejarah, dan hubungan moden dalam kalangan baka anjing Artik Amerika Utara]. Heredity (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 115 (6): 488–495. doi:10.1038/hdy.2015.49. ISSN 1365-2540. PMC 4806895. PMID 26103948. S2CID 20747538.
- ^ Feuerborn, Tatiana R.; Carmagnini, Alberto; Losey, Robert Justin; Nomokonova, Tatiana; Askeyev, Arthur; Askeyev, Igor; Askeyev, Oleg; Antipina, Ekaterina E.; Appelt, Martin; Bachura, Olga P.; Beglane, Fiona; Bradley, Daniel G.; Daly, Kevin G.; Gopalakrishnan, Shyam; Murphy Gregersen, Kristian; Guo, Chunxue; Gusev, Andrei V.; Jones, Carleton; Kosintsev, Pavel A.; Kuzʹmin, Yaroslav Vsevolodovich; Mattiangeli, Valeria; Perri, Angela R.; Plekhanov, Andrei V.; Ramos-Madrigal, Jazmín; Schmidt, Anne Lisbeth; Shaymuratova, Dilyara; Smith, Oliver; Yavorskaya, Lilia V.; Zhang, Guojie; Willerslev, Eske; Meldgaard, Morten; Gilbert, Marcus Thomas Pius; Larson, Greger John; Dalén, Love; Hansen, Anders Johannes; Sinding, Mikkel Holger Strander; Frantz, Laurent Alain François (20 September 2021). Marshall, Fiona B. (penyunting). "Modern Siberian dog ancestry was shaped by several thousand years of Eurasian-wide trade and human dispersal" [Keleluhuran anjing Siberia moden dibentuk oleh beberapa ribu tahun perdagangan dan persebaran manusia seluruh Eropah]. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (dalam bahasa Inggeris). Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat. 118 (39): e2100338118. Bibcode:2021PNAS..11800338F. doi:10.1073/pnas.2100338118. ISSN 1091-6490. JSTOR 27075815. PMC 8488619 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 34544854 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 237584023 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Skoglund, Pontus; Ersmark, Erik; Palkopoulou, Eleftheria; Dalén, Love (21 Mei 2015). "Ancient Wolf Genome Reveals an Early Divergence of Domestic Dog Ancestors and Admixture into High-Latitude Breeds" [Genom Serigala Purba Mendedahkan Pencapahan Awal Leluhur Anjing Bela Jinak dan Percampuran ke Dalam Baka Latitud Tinggi]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 25 (11): 1515–1519. Bibcode:2015CBio...25.1515S. doi:10.1016/j.cub.2015.04.019. ISSN 0960-9822. PMID 26004765. S2CID 15117630.
- ^ Fiszdon, Katarzyna; Czarkowska, Katarzyna (2008). "Social behaviours in Siberian huskies" [Tingkah laku sosial pada husky Siberia]. Annals of Warsaw University of Life Sciences – SGGW (dalam bahasa Inggeris). Szkoła Główna Gospodarstwa Wiejskiego w Warszawie (45): 19–28. ISSN 1898-8830. S2CID 86492056.
- ^ a b c d Thomas, Bob; Thomas, Pam (April 2015). Leonhard Seppala: The Siberian Dog and the Golden Age of Sleddog Racing 1908–1941 [Leonhard Seppala: Anjing Siberia dan Zaman Keemasan Perlumbaan Anjing Kereta Luncur Salji 1908–1941] (dalam bahasa Inggeris). Missoula, Montana, Amerika Syarikat: Pictorial Histories Publishing Company. ISBN 9781575101705. OCLC 931927411.
- ^ a b c d e "AKC Meet The Breeds: Siberian Husky" [Kenali Baka AKC: Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b c d e "Get to Know the Siberian Husky" (dalam bahasa Inggeris), 'The American Kennel Club', Dicapai pada 4 Januari 2024
- ^ a b "Siberian Husky Dog Breed Information" [Maklumat Baka Anjing Husky Siberia]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b "FCI-Standard N° 270 SIBERIAN HUSKY" [Piawaian FCI No. 270 Husky Siberia] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 18 November 2022. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Siberian Husky Breed Standard" [Piawaian Baka Husky Siberia] (PDF). Canadian Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Januari 2016.
- ^ "Siberian Husky Breed Standard" [Piawaian Baka Husky Siberia]. United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "Siberian Husky Breed Standard" [Piawaian Baka Husky Siberia]. The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Februari 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Ogos 2020. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Coat Color Identification Guidelines & Statement on "Merle" Patterning in Siberians" [Garis Panduan Pengenalpastian Warna Lapis Bulu dan Pernyataan tentang Corak "Merle" pada Anjing Siberia]. Siberian Husky Club of America (dalam bahasa Inggeris). September 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 November 2020. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "American Kennel Club: Official Standard of the Siberian Husky" [American Kennel Club: Piawaian Rasmi Husky Siberia] (PDF). American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Common Husky Questions – Siberian Husky Club of Great Britain – Huskies UK" [Soalan Lazim Husky – Siberian Husky Club of Great Britain – Huskies UK] (dalam bahasa Inggeris). Siberian Husky Club of Great Britain. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 April 2012. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Siberian husky" [Husky Siberia]. Encyclopaedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Encyclopaedia Britannica. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "The Siberian Husky: A Brief History of the Breed in America" [Husky Siberia: Sejarah Ringkas Baka Ini di Amerika]. Siberian Husky Club of America (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 November 2020. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Siberian husky (breed of dog) – Britannica Online Encyclopedia" [Husky Siberia (baka anjing) – Britannica Online Encyclopedia]. Britannica.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Duffy-Korpics, Lisa (2009). Tales from a Dog Catcher [Kisah daripada Penangkap Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Globe Pequot Press. m/s. 214. ISBN 9780762757701.
- ^ a b c Morgan, Diane (16 Mac 2011). Siberian Huskies for Dummies (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 202–203. ISBN 9781118053669. OCLC 899182851.
- ^ a b Fogle, Bruce (1 Oktober 2013). Dennis-Bryan, Kim (penyunting). The Dog Encyclopedia: The Definitive Visual Guide [Ensiklopedia Anjing: Panduan Visual Muktamad] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Ann Baggaley dan Katie John. (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 101. ISBN 9781465421166. OCLC 859155647.
- ^ Wan, Michele; Hejjas, Krisztina; Ronai, Zsolt; Elek, Zsuzsanna; Sasvari-Szekely, Maria; Champagne, Frances A.; Miklósi, Ádám; Kubinyi, Enikő (28 Mei 2013). "DRD4 and TH gene polymorphisms are associated with activity, impulsivity and inattention in Siberian Husky dogs" [Polimorfisme gen DRD4 dan TH dikaitkan dengan kegiatan, keimpulsifan, dan kekurangan perhatian pada husky Siberia]. Animal Genetics (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 44 (6): 717–727. doi:10.1111/age.12058. ISSN 1365-2052. PMID 23713429. S2CID 248462.
- ^ Coren, Stanley (5 Januari 2006). The Intelligence of Dogs: A Guide to the Thoughts, Emotions, and Inner Lives of Our Canine Companions [Kecerdasan Anjing: Panduan untuk Fikiran, Emosi, dan Kehidupan Dalaman Teman Anjing Kita] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Atria Publishing Group. ISBN 9780743280877. OCLC 61461866.
- ^ "Canine Intelligence—Breed Does Matter | Psychology Today" [Kecerdasan Anjing—Baka Adalah Penting | Psychology Today]. Psychologytoday.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Monnet, Eric (2009). "Laryngeal paralysis". AAHA/OVMA Toronto 2011. March 24–27, 2011. Toronto, Canada. Persatuan Hospital Haiwan Amerika. m/s. 443–445. https://secure.aahanet.org/eweb/images/AAHAnet/phoenix2009proceedings/pdfs/01_scientific/097_LARYNGEAL%20PARALYSIS%20SUR.pdf. Diperolehi 4 Januari 2024.
- ^ "Your Siberian Husky: Its Hips and Its Eyes" [Husky Siberia Anda: Pinggulnya dan Matanya] (dalam bahasa Inggeris). Siberian Husky Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2020. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "OFA: Hip Dysplasia Statistics" [OFA: Statistik Displasia Pinggul] (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Ogos 2008. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Davis, Michael S.; Willard, Michael D.; Nelson, S. L.; Mandsager, Ronald E.; McKiernan, B. S.; Mansell, J. K.; Lehenbauer, T. W. (Mei 2003). "Prevalence of Gastric Lesions in Racing Alaskan Sled Dogs" [Prevalens Lesi Gastrik pada Anjing Kereta Luncur Salji Alaska Perlumbaan]. Journal of Veterinary Internal Medicine (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 17 (3): 311–314. doi:10.1111/j.1939-1676.2003.tb02453.x. ISSN 1939-1676. PMID 12774971. S2CID 23736665.
- ^ Davis, Michael S.; McKiernan, Brendan; McCullough, Sheila; Nelson, Stuart Jr.; Mandsager, Ronald E.; Willard, Michael D.; Dorsey, Karen (11 Jun 2002). "Racing Alaskan Sled Dogs as a Model of "Ski Asthma"" [Anjing Kereta Luncur Salji Perlumbaan Alaska sebagai Model "Asma Ski"]. American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine (dalam bahasa Inggeris). American Thoracic Society. 166 (6): 878–882. doi:10.1164/rccm.200112-142BC. ISSN 1535-4970. PMID 12231501. S2CID 34948487.
- ^ Davis, Michael S.; Willard, Michael D.; Williamson, Katherine K.; Steiner, Jörg M.; Williams, David A. (Januari 2005). "Sustained Strenuous Exercise Increases Intestinal Permeability in Racing Alaskan Sled Dogs" [Senaman Berat Berterusan Meningkatkan Kebolehtelapan Usus pada Anjing Kereta Luncur Salji Alaska Perlumbaan]. Journal of Veterinary Internal Medicine (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 19 (1): 34–39. doi:10.1111/j.1939-1676.2005.tb02655.x. ISSN 1939-1676. PMID 15715045. S2CID 23865661.
- ^ Oliver, James A. C.; Mellersh, Cathryn Suzanne (14 Disember 2020). "Genetics" [Genetik]. Dalam Cooper, Barbara; Mullineaux, Elizabeth; Turner, Lynn (penyunting). BSAVA Textbook of Veterinary Nursing [Buku Teks Kejururawatan Veterinar BSAVA] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-6). Gloucester, United Kingdom: British Small Animal Veterinary Association. m/s. 131. ISBN 9781910443392. OCLC 1197697572.
- ^ Salisbury, Gay; Salisbury, Laney (17 Februari 2005). The Cruelest Miles: The Heroic Story of Dogs and Men in a Race Against an Epidemic [Jarak Batu Terkejam: Kisah Wira Anjing dan Manusia dalam Perlumbaan Melawan Epidemik] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: W. W. Norton & Company. m/s. 252. ISBN 9780393076219. OCLC 916083469.
- ^ Duster, Troy; Escobar, Arturo; Franklin, Sarah; Fujimura, Joan H.; Goodman, Alan H.; Haraway, Donna; Heath, Deborah; Heller, Chaia; Kaestle, Frederika A.; Kittles, Rick; Lindee, M. Susan; Marks, Jonathan; Rapp, Rayna; Rose, Hilary; Royal, Charmaine; Santos, Ricardo Ventura; Soodyall, Himla; Taussig, Karen-Sue; Templeton, Alan R. (6 November 2003). Goodman, Alan H.; Heath, Deborah; Lindee, M. Susan (penyunting). Genetic Nature/Culture: Anthropology and Science Beyond the Two-culture Divide [Sifat Genetik/Budaya: Antropologi dan Sains di Sebalik Pemisah Dua Budaya] (dalam bahasa Inggeris). Berkeley, California, Amerika Syarikat: University of California Press. m/s. 128. ISBN 9780520237933. OCLC 50851680.
- ^ a b c Bogoslavskaya, Lyudmila (1 Mac 2010). "The Fan Hitch: Journal of the Inuit Sled Dog International". thefanhitch.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ a b "An iceman's best friend" [Sahabat baik orang ais] (dalam bahasa Inggeris). Geographical. Disember 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Oktober 2014. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Harper, Kenn (28 September 2007). "The Evolution of a Word Husky" [Evolusi Perkataan Husky]. Nunatsiaq News (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Dalziel, Hugh (1879). British Dogs: Their Varieties, History, Characteristics, Breeding, Management and Exhibition [Anjing British: Keragaman, Sejarah, Ciri, Pembiakbakaan, Pengurusan, dan Pempamerannya] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: The Bazaar Office. m/s. 205–213. OCLC 19420097.
- ^ a b c Pisano, Beverly (12 Mei 1994). Siberian Huskies [Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 8. ISBN 9780793810529. OCLC 32046655.
- ^ Salisbury, Gay; Salisbury, Laney (Jun 2003). The Cruelest Miles: The Heroic Story of Dogs and Men in a Race Against an Epidemic [Jarak Batu Terkejam: Kisah Wira Anjing dan Manusia dalam Perlumbaan Melawan Epidemik] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Random House Publishing. ISBN 9780553527636. OCLC 52393521.
- ^ "Siberian Husky – Official Breed Standard" [Husky Siberia – Piawaian Baka Rasmi] (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2015. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Breeding Seppalas (5)" [Jarak Batu Terkejam: Kisah Wira Anjing dan Manusia dalam Perlumbaan Melawan EpidemikMembiakbakakan Anjing Seppala (5)]. www.seppalakennels.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "American Kennel Club – Siberian Husky History" [American Kennel Club – Sejarah Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "AKC Dog Registration Statistics" [Statistik Pendaftaran Anjing AKC] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ American Kennel Club 2013 Dog Registration Statistics Historical Comparisons & Notable Trends (dalam bahasa Inggeris), The American Kennel Club, Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Walton, Kevin; Atkinson, Rick (10 Disember 1996). Of Dogs and Men: Fifty Years in the Antarctic: The Illustrated Story of the Dogs of the British Antarctic Survey 1944 – 1994 [Tentang Anjing dan Manusia: Lima Puluh Tahun di Antartika: Cerita Berilustrasi Anjing British Antarctic Survey 1944–1994] (dalam bahasa Inggeris). Malvern Wells, United Kingdom: Images Publishing. ISBN 9781897817551. OCLC 34886958.
- ^ "The British Antarctic Survey Husky Sledge Dog Monument unveiled" [Tugu Anjing Kereta Luncur Salji Husky British Antarctic Survey didedahkan] (dalam bahasa Inggeris). British Antarctic Survey. 7 Julai 2009. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Proceedings – Did You Know – Camp Century" [Prosiding – Tahukah Anda – Camp Century] (dalam bahasa Inggeris). Pengawal Pantai Amerika Syarikat. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 April 2014. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Mary Robins. "How Game of Thrones has Impacted — And Hurt — Siberian Huskies" [Cara Game of Thrones Telah Memberikan Impak — dan Keburukan — kepada Husky Siberia]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "How Sled Dogs Work" [Cara Anjing Kereta Luncur Salji Bekerja]. HowStuffWorks (dalam bahasa Inggeris). 14 Januari 2008. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Keith, Christie (18 Februari 2011). "Lessons from a sled dog massacre" [Pelajaran daripada pembunuhan besar-besaran anjing kereta luncur salji]. SFGATE (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Getting Started in Rally" [Bermula dalam Rally]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Agility" [Agiliti]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Skijoring Is Winter's Wildest Sport. Here's How to Do It" [Skijoring Ialah Sukan Terliar Musim Sejuk. Ini Cara untuk Melakukannya]. Bloomberg.com (dalam bahasa Inggeris). 12 Januari 2018. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Gibeault, Stephanie (29 September 2019). "Hiking With Your Dog: Tips For Hitting The Trail In A Safe And Fun Way" [Mendaki dengan Anjing Anda: Tip untuk Mengharungi Denai dengan Cara Selamat dan Menyeronokkan]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Penny Leigh. "More Sports for All Dogs: Drafting & Carting" [Lebih Sukan untuk Semula Anjing: Drafting dan Carting]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Gemma Johnstone. "Bikejoring: Is This Adrenaline Inducing Sport Right For You and Your Dog?" [Bikejoring: Adakah Sukan Pencetus Adrenalina Sesuai untuk Anda dan Anjing Anda?]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Central Park – Balto" (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Taman dan Rekreasi Bandar Raya New York. Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ "Balto". Centralpark.com (dalam bahasa Inggeris). 7 Ogos 2017.
- ^ "In Game of Thrones fans' pursuit of real-life dire wolves, huskies may pay the price" [Dalam pencarian serigala menggerunkan kehidupan sebenar oleh peminat Game of Thrones, husky mungkin terima padah]. National Geographic (dalam bahasa Inggeris). 6 Mei 2019.
- ^ "'Game of Thrones' Star Jerome Flynn Speaks Up for Huskies" [Bintang 'Game of Thrones' Jerome Flynn Bersuara untuk Husky]. PETA (dalam bahasa Inggeris). 11 April 2019.
- ^ Burroughs, William James (13 Jun 2005). Climate Change in Prehistory: The End of the Reign of Chaos [Perubahan Iklim dalam Prasejarah: Penamat Kekuasaan Kacau-bilau] (dalam bahasa Inggeris). Cambridge, United Kingdom: Cambridge University Press. m/s. 129. ISBN 9780521824095. OCLC 57574483.
- ^ "Operation husky: Sicily – 9/10 July 1943" [Operasi husky: Sicilia – 9/10 Julai 1943]. Combined Operations Command (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Januari 2024.
- ^ Beck, Ken; Clark, Jim (30 Mac 2002). The Encyclopedia of TV Pets: A Complete History of Television's Greatest Animal Stars [Ensiklopedia Haiwan Peliharaan TV: Sejarah Lengkap Bintang Haiwan Terhebat Televisyen] (dalam bahasa Inggeris). Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat: Thomas Nelson. m/s. 44–46. ISBN 9781418557379. OCLC 949760945.
- ^ "About Mission" [Tentang Misi] (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Alumni Universiti Illinois Utara. Dicapai pada 4 Januari 2024.