Pergi ke kandungan

Viet Minh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bendera Viet Minh

The Việt Minh Mengenai audio inisebutan  (singkatan Việt Nam Ðộc Lập Ðồng Minh Hội, "Liga Kemerdekaan Vietnam") ialah sebuah gerakan pembebasan kebangsaan berevolusi komunis yang diasaskan oleh Hồ Chí Minh pada tahun 1941 untuk menuntut kemerdekaan Vietnam dari Perancis serta juga melawan pendudukan Jepun.

Perang Dunia II

[sunting | sunting sumber]

Ketika Perang Dunia II, Jepun menduduki Indochina Perancis. Selain menentang pihak Perancis Vichy, Việt Minh melancarkan kempen menentang penceroboh Jepun. Oleh sebab menentang Jepun, Việt Minh menerima bantuan kewangan dari pihak Amerika Syarikat dan China, meskipun pihak China hendak memenjara Hồ Chí Minh selama setahun lebih ketika menentang pemerintahan tentera Jepun kerana Ho ialah seorang pengikut fahaman komunis. Apabila Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945, pihak Jepun menyerahkan kuasa beberapa bangunan awam di Hanoi kepada Việt Minh di bawah pimpinan Hồ Chí Minh. Selepas pertubuhan Nasionalis lain mengisytiharkan kemerdekaan untuk Vietnam; Hồ mengisytiharkan Republik Demokratik Vietnam pada 2 September 1945.

Perang Indochina Pertama

[sunting | sunting sumber]

Namun begitu, dalam masa beberapa hari, tibanya tentera Kuomintang China di Vietnam untuk memerhati penghantaran kembali Tentera Diraja Jepun. Maka, Republik Demokratik Vietnam hanya wujud secara teori dan sebenarnya belum menguasai mana-mana wilayah. Beberapa bulan kemudian, pihak China, Vietnam dan Perancis mencapai kata sepakat tiga hala. Pihak Perancis menyerahkan hak-hak tertentu di China, Viet Minh mempersetujui kepulangan pihak Perancis sebagai pertukaran kepada janji-janji kemerdekaan dalam lingkungan Kesatuan Perancis dan pihak China bersetuju untuk berundur dari tanah Vietnam. Bagaimanapun, rundingan antara Perancis dan Việt Minh cepat menemui kegagalan, lalu ddikuti sepuluh tahun peperangan menentang Perancis yang dikenali sebagai Perang Indochina Perancis, atau Perang Perancis kepada orang Vietnam.

Jeneral Jean-Etienne Valluy dari Perancis dengan cepatnya mengusir Việt Minh keluar dari Hanoi. Infantri beliau yang berunit perisai melalui Hanoi untuk terlibat dalam pertempuran-pertempuran kecil menentang kumpulan-kumpulan Việt Minh berasingan. Pihak Perancis mengepung markas Việt Minh, iaitu Việt Bắc pada tahun 1947, namun gagal menewaskan angkatan Viet Minh, lalu terpaksa berundur. Kempen ini kini dianggap sebagai kemenangan Việt Minh terhadap kuasa Perancis yang penuh lengkap.

Việt Minh terus menentang Perancis sehingga tahun 1949 apabila sempadan China dan Viet Minh disambung sesama sendiri sebagai kesan kempen yang dipanggil Chiến dịch Biên giới (Kempen Perbatasan). China memberi Việt Minh markas berteduh dan senjata berat yang digunakan untuk menentang Perancis. Dengan senjata tambahan inilah, Việt Minh mempu menguasai banyak kawasan luar bandar di negara. Selepas itu, mereka mula mara ke kawasan yang diduduki Perancis.

Vietnam Utara

[sunting | sunting sumber]

Berikutan kekalahan di pertempuran Điện Biên Phủ, pihak Perancis mula berunding untuk meninggalkan Vietnam. Oleh sebab perjanjian damai yang diselesaikan di Persidangan Geneva di Geneva, Switzerland, Vietnam dibahagi kepada Vietnam utara dan Vietnam Selatan pada Selarian ke-17 sebagai langkah sementara sehingga pilihan raya penyatuan diadakan pada tahun 1956. Peralihan pentadbiran sivil Vietnam Utara kepada Việt Minh dijalankan pada 11 Oktober 1954. Hồ Chí Minh dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam Utara yang bakal ditadbir sebagai negara sosialis. Ngô Đình Diệm yang dahulunya dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam Selatan oleh Maharaja Bảo Đại, kemudiannya memegang kuasa terhadap Vietnam selatan. Dalam kata-kata Presiden Eisenhower dari Amerika Syarikat:

Adalah diakui secara umum bahawa seandainya pilihanraya diadakan, Ho Chi Minh akan dijadikan Perdana Menteri. Malang sekali, keadaan diburukkan lagi oleh kepimpinan serba tidak wujud yang ditunjukkan Ketua Negara Vietnam, Bảo Đại yang selaku ketua negara itu, memilih untuk meluangkan kebanyakan masa baginda di spa-spa Eropah dan bukannya berada di tanah air sendiri untuk memimpin tentera baginda untuk menentang kuasa Komunisme.[1]

Vietnam Selatan dan penyokong utamanya Amerika Syarikat tidak pernah menandatangani perjanjian 1954 tetapi pernah bersetuju untuk menghormati syarat-syaratnya. Bagaimanapun, Vietnam Selatan dengan bantuan Amerika Syarikat kemudiannya enggan mengadakan pilihan raya penyatuan atas sebab bahawa Hồ Chí Minh tidak boleh dipercayai kerana gabungan beliau dengan Komunisme.

Perhatian

[sunting | sunting sumber]

Việt Nam Ðộc Lập Ðồng Minh Hội tidak patut dikelirukan dengan Việt Nam Cách Mạng Ðồng Minh Hội (Liga Revolusi Vietnam, disingkatkan sebagai Việt Cách) yang ditubuhkan oleh Nguyễn Hai Than dan Hồ Ngoc Lam, dan kemudiannya menyertai Parti Campuran Kebangsaan Vietnam pada tahun 1946.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Eisenhower, Dwight (1963). Mandate for Change, 1953-1956. Garden City, NY: Doubleday. m/s. 337–38.