Pergi ke kandungan

Gambut

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bog, tanah bergambut di Transylvania
Pengumpul gambut di Westhay, Somerset Levels pada tahun 1905
Susunan dan pemotongan tanah gambut di Westhay, Somerset Levels
Penuaian gambut di Westhay, Somerset Levels
Tanah gambut di Lewis, Scotland

Gambut adalah jenis tanah yang terbentuk dari pengumpulan sisa-sisa tumbuhan yang separuh terurai; maka, kandungan bahan organiknya tinggi[1]. Tanah yang terutama terbentuk di tanah lembap ini disebut dalam bahasa Inggeris sebagai peat; dan tanah-tanah bergambut di pelbagai belahan dunia dikenali dengan aneka nama seperti paya, bog, moor, muskeg, pocosin, mire, dan lain-lain. Istilah gambut sendiri diserap dari bahasa masyarakat Banjar.

Sebagai bahan organik, tanah gambut boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga atau bahan api. Isipadu gambut di seluruh dunia dianggarkan sejumlah 4 trilion m³, yang meliputi kawasan sebesar lebih kurang 3 juta km² atau kira-kira 2% keluasan daratan di dunia, dan mengandung potensi tenaga kira-kira 8 bilion terajoule[2].

Taburan geografi

[sunting | sunting sumber]

Deposit gambut tersebar di banyak tempat di dunia, terutama di Rusia, Belarusia, Ukraine, Ireland, Finland, Estonia, Scotland, Poland, Jerman utara, Belanda, Scandinavia, dan di Amerika Utara, khususnya di Kanada, Michigan, Minnesota, Everglades di Florida, dan di delta Sungai Sacramento-San Joaquin di California. Kandungan gambut di hemisfera selatan adalah sedikit kerana kekurangan tanahnya; namun gambut boleh dijumpai di New Zealand, Kerguelen, Patagonia selatan/Tierra del Fuego dan Kepulauan Falkland.

Kira-kira 60% tanah lembap di dunia adalah gambut; dan sekitar 7% daripada tanah-tanah gambut itu telah dibuka dan dimanfaatkan untuk kepentingan pertanian dan kehutanan. Manakala jika keadaannya sesuai, gambut boleh berubah menjadi sejenis arang batu setelah melalui tempoh masa geologi.

Pembentukan gambut

[sunting | sunting sumber]
Penuaian tanah gambut di Frisia Timur, Jerman

Gambut terbentuk apabila bahagian-bahagian tumbuhan yang luruh terjejas pereputannya, biasanya di tanah-tanah paya, kerana kadar keasidan yang tinggi atau keadaan anaerob di perairan tempatan. Tidak menghairankan jika sebahagian besar tanah gambut tersusun daripada serpih dan kepingan sisa tumbuhan, daun, ranting, malah kayu-kayu besar, yang belum sepenuhnya mereput. Kadang kala ditemui juga, kerana ketiadaan oksigen bersifat menghalang penguraian, sisa-sisa bangkai binatang dan serangga yang turut terawet di dalam lapisan-lapisan gambut.

Lazimnya di dunia, dirujuk sebagai gambut apabila kandungan bahan organik dalam tanah melebihi 30%; akan tetapi hutan-hutan paya gambut di Asia Tenggara umumnya mempunyai kandungan melebihi 65% dan kedalamannya melebihi 50cm. Tanah dengan kandungan bahan organik antara 35–65% juga biasa dikenali sebagai muck.[1]

Pertambahan lapisan-lapisan gambut dan tahap pereputan bergantung pada komposisi gambut dan keamatan penggenangan. Gambut yang terbentuk pada keadaan yang teramat basah akan kurang terurai, dan dengan demikian pengumpulan cepat, berbanding dengan gambut yang terbentuk di tanah-tanah yang lebih kering. Sifat-sifat ini memungkinkan para klimatologi menggunakan tanah gambut sebagai penunjuk perubahan iklim pada masa lampau. Demikian juga, melalui analisis terhadap komposisi gambut, khususnya jenis dan jumlah penyusunan bahan organiknya, para ahli arkeologi dapat membina gambaran ekologi pada zaman purba.

Dalam keadaan yang tepat, gambut juga merupakan tahap awal pembentukan arang batu. Gambut bog yang terkini, terbentuk di kawasan latitud tinggi pada akhir Zaman Ais terakhir, kira-kira 9,000 tahun yang silam. Gambut ini masih terus bertambah ketebalannya dengan kadar kira-kira berapa milimeter setahun. Namun gambut dunia dipercayai mula terbentuk tidak kurang daripada 360 juta tahun lalu; dan kini menyimpan kira-kira 550 Gt karbon.[3]

Gambut sebagai sumber tenaga

[sunting | sunting sumber]

Gambut adalah lembut dan mudah ditekan. Apabila ditekan, kandungan air dalam tanah gambut boleh dipaksa keluar. Apabila dikeringkan, gambut boleh digunakan sebagai bahan api sumber tenaga. Gambut adalah bahan api penting di negara di mana pokok jarang tumbuh seperti Ireland dan Scotland, secara tradisional gambut digunakan untuk memasak dan pemanas rumah. Secara moden, gambut dituai dalam skala industri dan dipakai untuk bahan api penjanaan elektrik. Loji elektrik kuasa gambut terbesar terdapat di Finland (Stesen Janakuasa Toppila) sebesar 190 MW.[4]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b Anwar, J., S.J. Damanik, N. Hisyam, A.J.Whitten. 1984. Ekologi Ekosistem Sumatra. Gadjah Mada Univ. Press. Jogyakarta. Hal 245-251
  2. ^ World Energy Council (2007). "Survey of Energy Resources 2007" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 2008-09-10. Dicapai pada 2008-08-11.
  3. ^ International Mire Conservation Group (2007-01-03). "Peat should not be treated as a renewable energy source" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 2007-06-10. Dicapai pada 2007-02-12.
  4. ^ https://www.industcards.com/st-other-finland.htm

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]