Pergi ke kandungan

Azimat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Azimat Taweret Mesir Purba, Kerajaan Baru, Wangsa XVIII, c. 1539–1292 SM.

Azimat (menyerap dari Arab: عزيمة, rumi: `azīmah "ketekadan, keteguhan niat..."[1]) atau tangkal (Jawi: تڠكل) merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah dan/atau perlindungan kepada pemiliknya. Objek sebegini terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk termasuk permata, patung, syiling, lukisan, loket, cincin, tumbuhan, haiwan, dan sebagainya ataupun kata ucapan yang disebut dalam keadaan tertentu misalnya: vade retro satana (Latin, "pulanglah wahai Syaitan"), untuk menghindari kejahatan atau nasib malang.

Dalam keagamaan Ibrahimiah

[sunting | sunting sumber]
Dalam kepercayaan Kristian, Salib merupakan alat perlindungan untuk menangkis syaitan, selaku lambang suci kemenangan Kristus Jesus ke atas segala kejahatan.

Pada zaman purba dan Zaman Pertengahan, ramai penganut agama Yahudi, Kristian dan Islam di Timur percaya akan kuasa perlindungan dan penyembuhan daripada azimat atau benda-benda yang dirahmati. Azimat yang digunakan oleh golongan ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu:

  1. jenis yang dibawa atau dipakai pada badan
  2. jenis yang digantung pada atau di atas katil orang yang rengsa
  3. dan jenis azimat yang bersifat pengubat.

Azimat pengubat terbahagi lagi kepada luaran dan dalaman. Misalnya, azimat luaran diletakkan dalam takung mandi, supaya kuasanya dipancarkan dalam air dan sampai kepada orang yang mandi. Azimat dalaman pula, prasasti boleh ditulis pada makanan sebelum dikukus, supaya hidangan boleh disalurkan kepada pemakan untuk memindahkan kuasa penyembuh ke dalam tubuhnya.

Penganut Yahudi, Kristian dan Islam juga sekali-sekala menggunakan kitab suci seperti azimat dalam keadaan yang genting. Misalnya, orang yang sakit tenat boleh diletakkan kitab suci di bawah katil atau bantal.[2]

Dalam adat resam Yahudi ada bermacam-macam jenis azimat, khususnya azimat zaman Nabi Sulaiman a.s. yang disimpan dalam muzium. Oleh sebab berhala diharamkan, azimat Yahudi menekankan tulisan dan kalimah. Bentuk, bahan dan warna azimat tidak mendatangkan apa-apa beza.[3][4] Lihat juga Khamsa.

Sebai suci Yahudi yang bucunya berumbai bersimpul-simpul, iaitu tallis, merupakan salah sejenis barang azimat yang paling lama dan laris digunakan. Dipercayai bahawa tujuannya adalah untuk membezakan Yahudi dengan golongan pagan, sambil mengingatkan mereka akan Tuhan dan Syurga.[5]

Sejenis lagi azimat Yahudi yang tidak seberapa dikenali ialah kimiyah atau "tulisan malaikat." Ia terdiri daripada nama-nama malaikat atau ayat-ayat Taurat yang ditulis oleh katib rabai pada kertas kulit. Kemudian, kertas kulit itu diletakkan di dalam bekas perak yang berhias untuk dipakai pada mana-mana anggota badan.[6]

Gereja Katolik, dan pihak berkuasa Kristian secara amnya, sentiasa berwaspada akan penggunaan azimat. Namun demikian, agama Kristian tradisional membenarkan penggunaan sakramental, asalkan pemakainya baik pembawaannya. Misalnya, salib dianggap sebagai lambang pengusir yang berkesan terhadap syaitan, manakala tasbih atau pingat St. Christopher sering kelihatan tergantung pada cermin pandang belakang kenderaan yang dimiliki oleh penganut Kristian untuk menyeru perlindungan Tuhan sewaktu memandu.

Penganut Katolik jelata tidak dibenarkan melakukan upacara semah, tetapi mereka boleh menggunakan air suci, garam terahmat atau sakramental yang lain seperti pingat St. Benedict atau salib untuk menghalau anasir kejahatan.[7]

Salib merupakan salah satu azimat utama yang digunakan oleh penganut Katolik untuk menghalau anasir kejahatan selama ratusan tahun lamanya. Salib diraja Conrad II (1024–1039) menyebut tentang kuasa salib melawan kejahatan.[8] Ramai ahli teologi awal Gereja Katolik menyebut tentang penggunaan lambang Salib oleh orang Kristian untuk merahmati orang lain di samping menghindarkan anasir syaitan.

Salib masih banyak digunakan sebagai sakramental yang bersifat azimat oleh penganut Kristan. Dalam budaya Kristian, ia dianggap sebagai antara kaedah yang paling berkesan untuk menangkis atau melawan syaitan, seperti yang disebut-sebut oleh para tukan semah, termasuklah semah terkenal dari Vatican, iaitu Paderi Gabriele Amorth.[9]

Umat Islam juga memakai sejenis tangkal yang seumpamanya, iaitu ta'wiz, yang tertera ayat-ayat yang dipetik dari al-Qur'an. Tulisannya dipilih berdasarkan situasi yang ditujukan oleh penggunaan tangkal ini. Secara amnya, penggunaan azimat atau tangkal dianggap sebagai tahyul dan khurafat di kalangan umat Islam arus perdana.

  1. ^ Ali Ahmed Hizam Julul; Nabila Myrrha Rahmawati; Ni Wayan Sartini; Deny Arnos Kwary (2019). "Semantic Adaptations of the Arabic Loanwords in the Indonesian Language (Adaptasi Semantik Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Indonesia)". Mozaik Humaniora. Departemen Linguistik Universitas Airlangga. 19 (2): 139.
  2. ^ Tewfik Canaan, "The Decipherment of Arabic Talismans," The Formation of the Classical Islamic World 42 (2004): 125–149.
  3. ^ "King Solomon's amulets". Kabbala Corner. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-13. Dicapai pada 11 Disember 2006.
  4. ^ "The Hamsa Hand". Lucky Mojo. Dicapai pada 11 Disember 2006.
  5. ^ "JewishBazaar homepage". JewishBazaar.com. Dicapai pada 11 Disember 2006.
  6. ^ "Ahuva homepage". Ahuva.com. Dicapai pada 11 Disember 2006.
  7. ^ Rosemarie Scott, 2006 Clean of Heart ISBN 0977223450 ms. 63
  8. ^ e encyclopedia of Christianity By Erwin Fahlbusch, Eerdmans Publishing, 1999 ISBN 0802824137 ms. 737
  9. ^ Boston Catholic Journal