Terier Bedlington
Nama lain | Terier Rothbury Terier Rodbery Rothbury's lamb | ||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | England | ||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Terier Bedlington[a] ialah satu baka anjing kecil yang dinamai sempena bandar perlombongan Bedlington, Northumberland di England Timur Laut. Pada asalnya dibiakbakakan untuk berburu, terier Bedlington sejak itu telah kerap digunakan dalam perlumbaan anjing, banyak sukan anjing, serta dalam pertunjukan pengakuran dan sebagai anjing teman. Ia berkait rapat dengan terier Dandie Dinmont, whippet, dan anjing pemburu berang-berang.
Ia diperihalkan sebagai anjing sangat serba guna namun masih bercanggah. Ia mempunyai kemahiran renang berkuasa, dapat dibandingkan dengan yang pada anjing air seperti anjing Newfoundland, dan ketara kerana sangat pantas dan mempunyai daya ketahanan tinggi. Terier Bedlington terkenal kerana keserupaan penampilannya dengan anak biri-biri. Anjing ini mempunyai pewarnaan biru, hati, atau pasir, ketiga-tiganya mungkin mempunyai titik-titik sawo matang. Bulunya membentuk toncet di kepala anjing ini. Ia tidak bersalin bulu dan mempunyai bau minimum tetapi memerlukan penjagaan bulu mingguan untuk menanggalkan bulu mati.[2][3]
Pada asalnya dikenali sebagai terier Rothbury atau terier Rodbury,[b] nama "terier Bedlington" tidak digunakan untuk baka ini sehingga tahun 1825, tetapi sesetengah anjing mempunyai pedigri yang dapat dijejak kembali sejauh tahun 1782. Pertunjukan anjing pertama dengan kelas untuk terier Bedlington diadakan pada tahun 1870 di Bedlington. Terier Bedlington ditunjukkan pada pertunjukan-pertunjukan awal kerap dicelup untuk memperbaik penampilan bulunya. Pada tahun 1948, seekor terier Bedlington yang dikenali sebagai Rock Ridge Night Rocket memenangi best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club. Baka ini mempunyai angka tinggi bagi toksikosis tembaga.
Perihal
[sunting | sunting sumber]Penampilan
[sunting | sunting sumber]Terier Bedlington telah diperihalkan menyerupai anak biri-biri.[4][5] Ia juga telah dibandingkan dengan versi katik bagi anjing pemburu rusa Scotland.[6] George Shields menyatakan bahawa anjing yang dibiakbakakan dengan amat baik mempunyai semangat kuda lumba belima.[6]
Anjing mempunyai pewarnaan biru, hati, atau pasir, ketiga-tiganya mungkin mempunyai titik-titik sawo matang. Terier Bedlington membawa yang dikenali sebagai gen pengelabuan, iaitu trait dominan yang dibawa pada lokus G.[7] Gen ini menyebabkan anak anjing yang lahir dengan bulu hitam atau perang gelap mencerah ke arah kelabu atau hati seiring dengan usia.[7] Bulu terier Bedlington mewujudkan rupa bentuk pada bahagian atas kepala anjing yang dikenali sebagai toncet. Walaupun kebanyakan piawaian baka moden mensyaratkan agar toncet anjing ini berwarna lebih cerah daripada tubuhnya, semasa baka ini mula-mula sedang terbentuk, terdapat sekurang-kurangnya seorang pembiak baka terkemuka, Encik Pickett, yang percaya bahawa toncet patut berwarna lebih gelap dan bukan lebih cerah.[6]
Lapis bulu anjing ini telah diperihalkan sebagai lapis bulu berjumbai, keras, dan kusut dari segi gaya[8] dan juga bertekstur mirip lin, yang memberi baka ini nama gelaran "terier berbulu lin".[9] Lapis bulunya terdiri daripada gabungan bulu keras dan bulu lembut.[1] Pengekalan "gaya potongan bulu pertunjukan" adalah sangat sukar, walaupun untuk profesional, dan pendandanan dapat menjadi agak mahal.[1][5] Anjing yang memiliki yang dirujuk sebagai gaya potongan bulu pertunjukan, atau dirapikan untuk gelanggang pertunjukan, tidak boleh mempunyai bulu yang menonjol lebih daripada 1 inci (2.5 sentimeter) dari tubuhnya dan lapis bulu mesti mempunyai tekstur "halus".[4][10] Jika pendandanan tidak dilakukan dengan kerap, keadaan lapis bulu secepatnya merosot.[10] Atas sebab itu, kebanyakan terier Bedlington yang dibela semata-mata sebagai anjing peliharaan mengekalkan gaya "dandanan anjing peliharaan" yang memerlukan kurang penjagaan. Terier Bedlington —seperti pudel— telah dirujuk sebagai baka tidak bersalin bulu dan hipoalergenik.[2][3] Ia mempunyai bau anjing minimum selagi lapis bulu dan telinganya sihat dan lapis bulunya didandani dengan kerap untuk menanggalkan bulu mati. Terier Bedlington menyukai tukang dandan dan bekerjasama untuk waktu pemotongan bulu.[2]
Kepala anjing ini mesti berbentuk bulat tanpa stop.[4] Matanya berbentuk badam dan kecil dan bibirnya rapat dan kekurangan bibir atas ketara.[4] Belakang mesti melengkung dan tubuhnya patut lebih panjang sedikit berbanding dengan ketinggian.[4] Walaupun 16.5 inci (42 cm) ialah ketinggian keutamaan untuk anjing jantan, julat 16–17.5 inci (41–44 cm) diizinkan; untuk betina, ketinggian keutamaan ialah 15.5 inci (39 cm) dan julat boleh terima ialah 15–16.5 inci (38–42 cm).[4] Kedua-dua jantina mesti berukuran seberat 17–23 paun (7.7–10.4 kg).[4] Ia mempunyai gaya jalan ringan dan anjal.[1]
Perangai
[sunting | sunting sumber]Terier Bedlington adalah tajam dan galak. Salakannya telah digelar mirip hound[9] dan telah dibandingkan dengan bunyi tembakan mesingan.[5] Sebagai anjing pantas dengan daya ketahanan tinggi,[1] terier Bedlington adalah sama cepat di dalam air seperti di darat dan kelajuan renangnya menyaingi kelajuan renang anjing Newfoundland.[9] Terier Bedlington "mempunyai rentak cukup untuk bersaing dengan kelajuan biasa kuda".[6] Oleh sebab kehadiran whippet dalam zuriatnya, ia mempunyai kecenderungan untuk meluru.[1] Keserbagunaannya telah dipuji dengan sesetengah anjing yang bersedia untuk "[menjadi] anjing rumah, gundog, anjing tikus, anjing bejar, atau, jika perlu, meluru ke arah rubah..."[11]
Ia juga terkenal kerana kecerdasan dan keberaniannya dalam menghadapi haiwan perosak.[9] Terier Bedlington agak gemar berlaga dan cenderung terhadap kecemburuan apabila berada di sekeliling anjing lain.[9] Seorang lelaki menyatakan bahawa "anjing ini hampir cergas untuk membunuh mana-mana anjing lain seberatnya"[9] dan membandingkannya dengan anjing laga yang digunakan dalam laga anjing.[9] Ia juga telah digunakan dalam laga anjing.[5]
Walau bagaimanapun, kedua-dua AKC dan ASPCA memanggil baka ini "sederhana" dan "lemah lembut" dan mengesyorkannya sebagai anjing yang baik dengan kanak-kanak.[4][12] PetFinder berkata bahawa baka ini berperangai lemah lembut, mesra, demonstratif, setia, dan anjing rumah pendiam.[13] Walaupun baka ini mungkin mengejar haiwan kecil di luar, ia menerima haiwan kecil di ruangan dalaman.[13] Baka ini, yang suka bermain dan ceria, dapat menjadi mudah teruja dan bersemangat, dan cenderung untuk menjadi keras kepala.[14] New Zealand Kennel Club memberikan amaran agar tidak membelanya dengan anjing yang mempunyai keperibadian dominan, "kerana sebaik dicabar, ia merupakan petarung menakutkan, walaupun berpenampilan lemah lembut",[14] tetapi sebaliknya baka ini bagus dengan anjing lain.[14]
Sesetengah pembiak baka, terutamanya George Newcombe, telah berhujah bahawa keupayaan kerja dan keberanian terier Bedlington telah merosot sejak ia mula dibiakbakakan untuk pertunjukan.[15] Pudel mungkin telah diperkenalkan ke dalam baka ini untuk menjadikan lapis bulunya lebih mudah diurus dan dijaga.[15] George Newcombe daripada Working Bedlington Terrier Club berkata bahawa "[terier Bedlington] tulen tidak lagi dapat dianggap sebagai baka pekerja serius" dan selanjutnya menyilangkan anjing-anjing beliau dengan terier Lakeland dalam usaha untuk mengembalikan kualiti pekerja terier Bedlington; nama Lakebed dan Bedland telah dicadangkan untuk silangan ini.[15]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Kerana dibiakbakakan di kampung Bedlington di Northumberland, terier Bedlington telah diperihalkan sebagai "pendamping kegemaran pelombong utara".[9][8] Ia pada asalnya dikenali sebagai terier Rodbury,[1] terier Rothbury,[1][4] atau "Rothbury's lamb",[4] kerana Lord Rothbury telah menaruh rasa minat terhadap anjing ini.[4] Sebelum ini, ia dikenali sebagai "anjing gipsi", sempena orang Romani—yang dipanggil 'gipsi' pada zaman itu—dan pemburu haram menggunakannya untuk berburu.[4] Sebutan pertama terier Bedlington, atau seperti yang dikenali ketika itu, terier Rothbury atau Rodbury,[8] adalah pada tahun 1825,[9] kemungkinan besar dalam The Life of James Allen,[8] tetapi sesetengah pedigri anjing telah dijejak kembali sejauh tahun 1782.[9] Bapa kepada James, William, sangat dicari-cari sebagai pemburu berang-berang dan beliau membela terier Bedlington untuk membantunya untuk berburu.[8] Ia juga dihargai oleh pemiliknya sebagai anjing coursing arnab dan anjing lumba,[9] sehingga whippet menjadi lebih popular sebagai anjing lumba dan courser.[11]
Nama terier Bedlington pertama kali diberikan kepada seekor anjing bernama Young Piper, yang dimiliki oleh seorang lelaki bernama Joseph Ainsley.[9][8] Piper milik Ainsley telah dipanggil "yang terbaik antara kaumnya"[9] dan "mempunyai reputasi untuk keberanian dan kegalakan besar".[9] Piper mula bekerja dengan bejar pada usia lapan bulan dan terus memburu haiwan lain yang pada umumnya dianggap sebagai haiwan perosak sehingga ia buta.[9] Piper juga terkenal kerana menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada seekor babi dengan menahan haiwan itu sehingga bantuan tiba.[9] Piper mati pada usia lima belas tahun.[9]
Sifat galak terier Bedlington juga kerap menjadi keburukannya. Banyak anjing dibunuh atau dimatikan selepas memburu bejar. Anjing pemburu bagus tahu untuk menjaga jarak dari bejar sehingga pemburu tiba. Terier lebih muda atau tidak berpengalaman menyerang bejar itu, biasanya dengan akibat mengerikan. Amputasi anggota tubuh atau rahang bawah yang dicabut oleh bejar lebih berkuasa adalah lazim.[16]
Pertunjukan pertama yang mempunyai kelas untuk terier Bedlington diadakan pada tahun 1870 di Bedlington.[9] Pada tahun berikutnya, terdapat kelas terier Bedlington dalam sebuah pertunjukan yang diadakan di Crystal Palace. Di sana, seekor anjing merah bernama Miner merangkul hadiah pertama.[9] Miner juga memenangi pertunjukan yang diadakan di Birmingham.[9] Bedlington Terrier Club diasaskan pada tahun 1875.[9][11] Banyak anjing dalam pertunjukan awal melalui pemotongan bulu dan diwarnai untuk membawanya lebih dekat dengan piawaian baka dan meningkatkan peluang untuk menang.[9]
Tidak ada pengetahuan sama ada para hakim pada masa itu menyedari amalan ini atau jika mereka peduli.[9] Amalan pemangkasan akhirnya diterima oleh The Kennel Club atas dakwaan bahawa pemangkasan dilakukan untuk "merapikan anjing untuk menunjukkan rupa bentuk dan kontur umumnya".[17]
Terier Bedlington berkait rapat dengan terier Dandie Dinmont.[9][8] Malah Earl Antrim[nyatakan menurut siapa?] pernah mempamerkan dua ekor terier daripada perinduk sama dan salah seekor memenangi pertunjukan sebagai terier Dandie Dinmont, manakala yang lagi seekor memenangi pertunjukan sebagai terier Bedlington.[9] Terier Bedlington juga berkaitan dengan terier biru Kerry dan terier gandum berbulu lembut.[4] Rupa bentuk belakangnya mencadangkan bahawa ia mungkin berkaitan dengan whippet[4] dan ia mungkin juga berkaitan dengan anjing pemburu berang-berang.[3] Terier Bedlington telah disilangkan dengan whippet untuk menghasilkan lurcher dengan "tambahan keberanian, semangat, [dan] baraan".[15]
Pada tahun 1948, Ch. Rock Ridge Night Rocket mendapat gelaran best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club dan kemudian ditampilkan dalam majalah LIFE.[3] Salah seekor keturunannya, Ch. Femars' Cable Car, ditampilkan pada muka hadapan Sports Illustrated dalam edisi 8 Februari 1960.[18]
Kesihatan
[sunting | sunting sumber]Kelanjutan usia
[sunting | sunting sumber]Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.7 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[19]
Punca utama bagi kematian dalam kalangan terier Bedlington dalam tinjauan United Kingdom tahun 2004 merupakan usia lanjut (23%), masalah urologi (15%), dan masalah hati (12.5%).[20] Punca hepatik utama bagi kematian ialah toksikosis tembaga.[20] Anjing yang mati akibat penyakit hati biasanya mati pada usia lebih muda berbanding dengan anjing yang mati akibat kebanyakan sebab lain.[20]
Pemilik terier Bedlington di United Kingdom melaporkan bahawa isu kesihatan paling umum sesama anjing hidup merupakan isu pembiakan, desir jantung, dan masalah mata seperti epifora, displasia retina, dan katarak.[12] Terier Bedlington kelihatannya lebih terdedah kepada penyakit mata ini berbanding dengan baka lain.[1] Ia juga mempunyai insiden lebih tinggi bagi masalah ginjal.[12] Toksikosis tembaga berlaku dalam kalangan kira-kira 5% anjing hidup. Pembiakbakaan dalam ialah kebimbangan, kerana sesetengah anjing "yang [telah] dibiakbakakan ke dalam dan hingga takat merosakkan."[9][11] Pembiak baka bereputasi baik menjalankan ujian DNA ke atas semua perinduk dan tidak mengizinkan agar anak anjing yang membawa gen toksikosis tembaga dibiakbakakan, dalam amalan yang telah mengurangkan dengan ketara kejadian penyakit ini pada baka ini. Melainkan masalah ini, terier Bedlington pada umumnya ialah baka sangat sihat.[6]
Toksikosis tembaga
[sunting | sunting sumber]Toksikosis tembaga, yang juga dikenali sebagai penyakit simpanan tembaga dan sindrom beban lebih tembaga, ialah penyakit resesif autosom yang bercirikan penumpukan tembaga di dalam hati.[21] Ini berkait rapat dengan penyakit Wilson pada manusia.[21] Terier Bedlington lebih terdedah kepada toksikosis tembaga berbanding dengan kebanyakan baka anjing lain.[21] Terier putih Tanah Tinggi Barat, terier Skye, dan pincer Dobermann juga terdedah kepada penyakit simpanan tembaga.[21] Terier Bedlington ialah satu-satunya baka anjing yang padanya hemolisis telah dilaporkan, tetapi belum ada laporan tentang penglibatan neurologi pada mana-mana baka anjing.[21]
Kajian telah menunjukkan bahawa pada terier Bedlington, penyakit ini disebabkan oleh metalotionein cacat[22] yang menyebabkan lisosom sel menjadi tepu dengan tembaga.[21] Ini menyebabkan sel menyimpan tembaga di dalam nukleus.[21] Terdapat tiga keragaman bagi penyakit ini: bentuk tanpa gejala berlaku apabila tembaga menumpuk tetapi tiada gejala klinikal bagi gangguan tersebut; bentuk fulminat, yang kebanyakannya terlihat pada anjing muda, menyebabkan kematian dalam dua hingga tiga hari dan dianggap disebabkan oleh tekanan; dan bentuk kronik, yang bercirikan tempoh masa panjang untuk penyakit hati perlahan-lahan menyebabkan kematian anjing berkenaan.[21] Terier Bedlington juga mempunyai kecenderungan untuk menumpukkan besi di dalam hati, tetapi tidak hampir setakat penumpukan tembaga.[22]
Dalam kesenian
[sunting | sunting sumber]Terier Bedlington tampil dalam lukisan-lukisan karya Craigie Aitchison, khususnya penyaliban-penyaliban beliau.[23]
Dalam filem tahun 2022, Sisu, iaitu seekor terier Bedlington, ialah teman setia kepada protagonis, seorang pelombong dan pencari gali Finland.[24]
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: تيريئر بيدليڠتن ; bahasa Inggeris: Bedlington terrier
- ^ Jawi: تيريئر روتبري; تيريئر رودبري ; bahasa Inggeris: Rodbury terrier; Rothbury terrier
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Terier Bedlington |
- ^ a b c d e f g h i Kern, Kerry V.; Vriends, Matthew M. (1988). "Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. The New Terrier Handbook [Buku Panduan Terier Baharu] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 77–79. ISBN 9780812039511. OCLC 17508196.
- ^ a b c Lee, Muriel P. (2001). Bedlington Terrier [Terier Bedlington] (dalam bahasa Inggeris). Dorking, Surrey, United Kingdom: Interpet Publishing. m/s. 26ff. ISBN 9781903098851. OCLC 48836026.
- ^ a b c d Best U.S. Dog: A blue-coated Bedlington terrier becomes king of canine bluebloods [Anjing Terbaik AS: Seekor terier Bedlington berbulu biru menjadi raja darah biru anjing] (dalam bahasa Inggeris). LIFE. 23 Februari 1948. m/s. 107. Dicapai pada 5 Mac 2024.
- ^ a b c d e f g h i j k l m n "Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. Meet The Breeds (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 5 Mac 2024.
- ^ a b c d Stall, Sam (April 2005). "Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. The Good, the Bad, and the Furry: Choosing the Dog That's Right for You [Yang Baik, yang Buruk, dan yang Berbulu: Memilih Anjing yang Betul untuk Anda] (dalam bahasa Inggeris). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Quirk Books. m/s. 53. ISBN 9781594740213. OCLC 61103847.
- ^ a b c d e Shields, George Oliver, penyunting (1891). "The Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. The American Book of the Dog: The Origin, Development, Special Characteristics, Utility, Breeding, Training, Points of Judging, Diseases, and Kennel Management of All Breeds of Dogs [Buku Amerika tentang Anjing: Asal Usul, Perkembangan, Ciri Khas, Utiliti, Pembiakbakaan, Pelatihan, Isi Penghakiman, Penyakit, dan Pengurusan Kenel bagi Semua Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Chicago, Illinois, Amerika Syarikat: Rand McNally. m/s. 395–411. OCLC 1711209.
- ^ a b "The Greying Gene" [Gen Pengelabuan]. Dog Coat Color Genetics (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 5 Mac 2024.
- ^ a b c d e f g "The Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. The Cultivator & Country Gentleman (dalam bahasa Inggeris). Luther Tucker & Son. 1889. Dicapai pada 5 Mac 2024.
- ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z Lee, Rawdon Briggs (10 April 2001). A History & Description of the Modern Dogs of Great Britain & Ireland: The Terriers [Sejarah dan Perihal Anjing Moden Great Britain dan Ireland: Terier] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Horace Cox. m/s. 173–194. ISBN 9781402176494.
- ^ a b Barton, Frank Townend (1908). Terriers, Their Points and Management [Terier, Kelebihan, dan Pengurusannya] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Mitchell Kennerley. m/s. 115–118. OCLC 2561860.
- ^ a b c d Compton, Herbert Eastwick (1904). "Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. The Twentieth Century Dog [Anjing Abad Kedua Puluh] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: G. Richards. m/s. 309–319. OCLC 372309.
- ^ a b c Gerstenfeld, Sheldon L.; Schultz, Jacque Lynn (September 1999). "Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. ASPCA Complete Guide to Dogs [Panduan Lengkap ASPCA untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). San Francisco, California, Amerika Syarikat: Chronicle Books. m/s. 274. ISBN 9780811819046. OCLC 40632797.
- ^ a b "Adopt a Bedlington Terrier" [Adopsi Terier Bedlington] (dalam bahasa Inggeris). Petfinder. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Februari 2023. Dicapai pada 5 Mac 2024.
- ^ a b c "Bedlington Terrier" [Terier Bedlington]. Breed Standards (dalam bahasa Inggeris). New Zealand Kennel Club. Dicapai pada 5 Mac 2024.
- ^ a b c d Plummer, David Brian (April 2001). In Pursuit of Coney [Mengejar Coney] (dalam bahasa Inggeris). Coch-y-Bonddu Books. m/s. 92–93. ISBN 9780953364886. OCLC 786137135.
- ^ King, H. H. (23 Mac 2011). Working Terriers, Badgers & Badger Digging [Terier Pekerja, Bejar, dan Penggalian Bejar] (dalam bahasa Inggeris). Read Books. ISBN 9781446545027. OCLC 936198832.
- ^ Jaquet, Edward William (1905). The Kennel Club: A History and Record of Its Work [The Kennel Club: Sejarah dan Rekod Kerjanya] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Kennel Gazette. m/s. 130. OCLC 5151887.
- ^ "The Westminster: Road To Ruin". Sports Illustrated (dalam bahasa Inggeris). 8 Februari 1960. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Disember 2011.
- ^ McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ a b c Adams, Vicki Jean; Evans, Katy M.; Sampson, Jeffery; Wood, James Lionel Norman (1 Oktober 2010). "Methods and mortality results of a health survey of purebred dogs in the UK" [Kaedah dan keputusan mortaliti tinjauan kesihatan anjing baka tulen di United Kingdom]. Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 51 (10): 512–524. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00974.x. ISSN 1748-5827. PMID 21029096. S2CID 36903216.
- ^ a b c d e f g h Leone, Arturo; Mercer, Julian F. B., penyunting (31 Januari 1999). "Copper Overload Syndrome (Wilson's Disease) in Other Animals" [Sindrom Beban Lebih Tembaga (Penyakit Wilson) pada Haiwan Lain]. Copper Transport and Its Disorders: Molecular and Cellular Aspects [Pengangkutan Tembaga dan Kecelaruannya: Aspek Molekul dan Sel] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Plenum Publishers. m/s. 141. ISBN 9780306460456. OCLC 39936199.
- ^ a b Ingram, Peter; Shelburne, John D.; Roggli, Victor L.; LeFurgey, Ann (29 Oktober 1999). "Microprobe Analysis in Hepatic Metal Overload Disease States" [Analisis Mikrokuar dalam Keadaan-keadaan Penyakit Beban Lebih Logam Hati]. Biomedical Applications of Microprobe Analysis [Penerapan Biokimia bagi Analisis Mikrokuar] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Burlington, Massachusetts, Amerika Syarikat: Elsevier. m/s. 357. ISBN 9780080524566. OCLC 476079943.
- ^ "The Crucifixion". vam.ac.uk (dalam bahasa Inggeris). Victoria and Albert Museum. Dicapai pada 11 Mei 2024.
- ^ Ross, Deborah (27 Mei 2023). "I may never recover: Sisu reviewed" [Mungkin saya tidak akan pulih: Sisu disemak]. The Spectator (dalam bahasa Inggeris).