Pergi ke kandungan

Mudejar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Mudéjar)
Menara Gereja Teruel, salah satu daripada sepuluh bangunan bersejarah Mudéjar di Aragón yang terangkum dalam Tapak Warisan Dunia.
Laman dalam Bangunan Dolls di Alcázar, Seville.
Menara gereja Santa María di Calatayud.

Mudéjar (/mˈdhɑːr/,[1] also A.S.: /-ˈðɛh-, -ˈðɛx-/,[2][3] Sebutan Sepanyol: [muˈðexaɾ], Portuguese: [muˈðɛʒaɾ]; Catalan: mudèjar [muˈðɛʒəɾ]; Arab: مدجن, rumi: mudajjan, lit.'tamed; domesticated')[4] ialah gelaran yang diberikan kepada orang Moor atau Muslim Andalusia yang kekal tinggal di daerah Kristian selepas Reconquista tetapi tidak memeluk agama Kristian. Ia juga merujuk kepada gaya seni bina dan hiasan Iberia yang vernakular daripada tempoh antara abad ke-12 hingga abad ke-16, khususnya gaya Aragon dan Castile, yang dipengaruhi kuat oleh cita rasa dan kemahiran kerja Moor.

Perkataan Mudéjar merupakan pencemaran bahasa Sepanyol Zaman Pertengahan untuk perkataan Arab, مدجن (Mudajjan), yang bermakna "mereka yang menerima penyerahan", dengan implikasi berganda, iaitu penyerahan kepada Allah dan kepada pemerintahan duniawi raja-raja Kristian.

Selepas kejatuhan Granada pada Januari 1492, orang-orang Mudéjar mengekalkan kedudukan mereka sehingga pertengahan abad ke-16, apabila mereka dipaksa untuk memeluk agama Kristian dan sejak dari masa itu, mereka digelar Morisco. Melalui sebuah dekri pada tahun 1610, orang-orang Morisco diusir dari Sepanyol ke Afrika Utara selepas diseksa oleh Pasitan Sepanyol. Gaya mereka yang tersendiri masih dapat dikesan daripada gaya seni bina, malahan muzik, kesenian, dan ketukangan kawasan itu.


Gaya Mudéjar

[sunting | sunting sumber]

Dalam pembinaan bangunan-bangunan Romanesque, Gothik, dan Zaman Pembaharuan, unsur-unsur kesenian Islam telah dipergunakan untuk mencapai hasil-hasil yang kadang kala menarik. Bagaimanapun, orang-orang Mudéjar memperkenalkan satu ciri baru melalui penggabungan gaya Gothik yang baru muncul dengan pengaruh-pengaruh Islam yang dahulunya hanya ditindih pada gaya seni bina Romanesque. Pengaruh kesenian Islam terus wujud sehingga abad ke-17.

Gaya Mudéjar merupakan satu simbiosis antara teknik-teknik dan cara-cara untuk memahami gaya seni bina yang diwujudkan oleh kebudayaan-kebudayaan Muslim, Kristian dan Yahudi yang hidup bersama-sama. Gaya ini muncul sebagai satu gaya seni bina yang tersendiri pada abad ke-12 di Semenanjung Iberia, dan dicirikan oleh penggunaan bata sebagai bahannya yang utama. Orang-orang Mudéjar tidak melibatkan diri dalam penciptaan bentuk atau struktur (berbeza dengan Gothik atau Romanesque), tetapi hanya menafsirkan semula gaya-gaya kebudayaan Barat melalui pengaruh-pengaruh Islam. Ciri geometri yang paling menonjol dan yang jelas berunsur Islam muncul dengan ketara dalam hiasan-hiasan kraf yang mempergunakan bahan-bahan murah yang dikerjakan dengan teliti - jubin, bata, kayu, ukiran lepa dan logam-logam hiasan. Untuk menghidupkan permukaan-permukaan dinding dan lantai, gaya Mudéjar mengembangkan corak-corak jubin yang rumit yang tidak pernah diatasi dari segi kecanggihannya. Walaupun selepas orang-orang Islam tidak lagi diambil untuk mengerjakannya, banyak daripada sumbangan-sumbangan mereka masih dikekalkan sebagai sebahagian gaya seni bina Sepanyol yang penting. Istilah gaya Mudejar dicipta oleh José Amador de los Ríos, seorang ahli sejarah dan arkeologi Andalusia, pada tahun 1859.

Sudah diiktiraf bahawa gaya Mudéjar lahir di bandar Sahagún [5] sebagai suatu penyesuaian motif-motif perhiasan (terutamanya, melalui perhiasan lega dan bata) merupakan satu kenyataan yang telah diterima. Ciri-ciri Mudéjar yang tersebar ke segenap pelusuk Kerajaan León, Toledo, Ávila, dan Segovia, serta kawasan-kawasan yang lain, melahirkan apa yang telah digelar Romanesque bata. Pusat-pusat kesenian Mudéjar juga terdapat di bandar-bandar yang lain seperti Toro, Cuéllar, Arévalo dan Madrigal de las Altas Torres. Ia berkembang dengan paling pesat di Aragon, khususnya di Teruel (walaupun juga di Zaragoza, Utebo, Tauste, Daroca, Calatayud, dsb). Pada abad ke-13 hingga abad ke-15, banyak menara gaya Mudéjar yang tesergam indah dibina di bandar Teruel, dan terus mengubah aspek bandar itu sehingga hari ini.

Dua contoh gaya Mudéjar yang unggul termasuk kariah di Santa Catalina (gambar di bahagian galeri) yang dibina pada abad ke-14 di atas tapak sebuah masjid yang lama, serta Casa de Pilatos yang dibina pada awal abad ke-16 di Seville. Seville juga mempunyai banyak contoh gaya Mudéjar yang lain. Istana Alcázar di Seville telah dianggap sebagai salah satu contoh gaya Mudéjar yang terunggul yang masih wujud. Gaya seni binanya merangkumi gaya Gothik dan gaya Zaman Pembaharuan, serta juga gaya Mudéjar. Pedro dari Castile meneruskan penggunaan gaya seni bina Islam ketika memperluas istana ini yang pada asalnya dibina sebagai sebuah kubu Moor.

Las Ventas, gelanggang perlagaan lembu Neo-Mudéjar di Madrid.

Portugal juga mempunyai beberapa contoh seni dan seni bina Mudéjar, walaupun tidak sebanyak dan jauh lebih sederhana dari segi perhiasan, berbanding dengan Sepanyol yang berjiran. Seni bina bata Mudéjar hanya ditemui pada mihrab Gereja Castro de Avelãs [1] Diarkibkan 2007-03-13 di Wayback Machine yang terletak berhampiran dengan kawasan perbandaran Braganza, dan amat serupa dengan gaya Mudéjar perintis Gereja Sahagún di León.

Satu kacukan gaya Gothik-Mudéjar turut berkembang di wilayah Alentejo di selatan Portugal pada abad ke-15 dan ke-16 yang bertindihan dengan gaya Manueline (Zaman Gothik Akhir Portugis). Jendela-jendela Istana Diraja dan Istana Count Basto di Évora merupakan contoh-contoh gaya ini yang baik. Seni hiasan yang diilhami oleh gaya Mudéjar juga terdapat pada corak jubin gereja-gereja dan istana-istana, seperti jubin yang diimport dari Seville pada abad ke-16 untuk menghiasi Istana Diraja Sintra. Selain itu, bumbung-bumbung kayu Mudéjar terdapat di gereja-gereja yang terletak di Sintra, Caminha, dan Funchal, serta beberapa tempat yang lain.

Gaya Neo-Mudéjar

[sunting | sunting sumber]

Gaya Neo-Mudéjar merupakan penerusan atau penghidupan semula gaya Mudéjar di Sepanyol dan Amerika Latin pada abad ke-16 hingga abad ke-19. Ketika Emilio Rodriguez Ayuso mempergunakan gaya Neo-Mudéjar pada akhir abad ke-19 untuk mereka bentuk Plaza de Toros, sebuah gelanggang perlagaan lembu di Madrid yang kini telah dimusnahkan, gaya itu menjadi gaya yang terpopular untuk gelanggang perlagaan lembu di seluruh Sepanyol. Plaza de España yang dibina untuk Ekspo Dunia pada tahun 1929 mempergunakan gaya neo-Mudéjar, dengan Gran Teatro Falla di Cádiz turut mengikut.

Di Madrid, terdapat beberapa contoh gaya seni bina Neo-Mudejar yang baik yang terus wujud, termasuk gelanggang perlagaan lembu Las Ventas (gambar), La Iglesia Virgen de la Paloma, dan Escuelas Aguirre, serta juga Torre de Canal Isabel II yang merupakan menara tangki air yang diubah menjadi ruang pameran.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Boswell, John (1978). Royal Treasure: Muslim Communities Under the Crown of Aragon in the Fourteenth Century. Percetakan Universiti Yale. ISBN 0300020902
  • Menocal, Maria Rosa (2002). Ornament of the World: How Muslims, Jews, and Christians Created a Culture of Tolerance in Medieval Spain. Little, Brown & Co. ISBN 0316168718
  • Rubenstein, Richard (2003). Aristotle's Children: How Christians, Muslims, and Jews Rediscovered Ancient Wisdom and Illuminated the Middle Ages. Harcourt Books. ISBN 0156030098
  1. ^ "Mudejar" (US) and Templat:Cite Oxford Dictionaries
  2. ^ "Mudéjar". The American Heritage Dictionary of the English Language (ed. 5th). HarperCollins. Dicapai pada February 15, 2019.
  3. ^ "Mudejar". Merriam-Webster.com Dictionary. Dicapai pada February 15, 2019.
  4. ^ Wehr, Hans (1979). Arabic-English Dictionary. Wiesbaden: Otto Harrassowitz. ISBN 978-0-87950-003-0.
  5. ^ Laman web Arteguias: Senibina dan seni Mudejar

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]